Kes buli SMK Za’aba: Lima pelajar dakwa pernah dibuli suspek pertama

30 Sep 2026 • 12:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kes buli SMK Za’aba: Lima pelajar dakwa pernah dibuli suspek pertama

SEREMBAN: Seramai lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’aba, Kuala Pilah mendakwa pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan susulan kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama sekolah berkenaan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, bagaimanapun, berdasarkan keterangan awal daripada keluarga, mangsa,Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, tidak pernah memaklumkan pernah dibuli di sekolah.

“Seramai lima pelajar mendedahkan pernah dibuli oleh suspek pertama (B1).

“Setakat ini seramai 69 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan. Jumlah itu membabitkan 53 pelajar, empat guru, tiga warden, enam ibu bapa, dua doktor dan seorang jurulatih tinju,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, suspek pertama dan kedua merupakan rakan sekolah tingkatan empat, manakala kedua-duanya serta mangsa merupakan rakan sekelas bagi sukan memanah.

“Hasil siasatan mendapati suspek kedua (B2) menyepak mangsa sebanyak enam kali ketika pertemuan pertama sebelum memanggil mangsa untuk berjumpa suspek pertama (B1),” katanya.

Alzafny berkata, kedua-dua suspek merupakan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang masing-masing direman sehingga 1 dan 3 Oktober ini.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Idlan dipercayai dipukul menggunakan paip getah dan tangan di asrama sekolah berkenaan.

Alzafny dilaporkan berkata, kejadian berlaku selepas solat Maghrib pada 25 September lalu ketika mangsa sepatutnya menjalani sesi ulangkaji di asrama.

Menurutnya, mangsa kemudian dipanggil suspek kedua ke asrama pelajar senior di Blok A sebelum dipukul menggunakan paip getah dan tangan. – UTUSAN

The post Kes buli SMK Za’aba: Lima pelajar dakwa pernah dibuli suspek pertama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved