
JOHOR BAHRU – Semua sekolah di Johor akan dibuka semula secara berperingkat mulai esok dengan kehadiran murid dihadkan kepada calon peperiksaan yang terlibat susulan situasi jerebu yang melanda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, pembukaan semula sekolah itu dilaksanakan dalam dua fasa bagi memastikan kelancaran peperiksaan serta keselamatan dan kesihatan murid.
“Bagi fasa pertama pada 26 dan 27 Oktober ini, kehadiran ke sekolah hanya dibenarkan kepada murid yang perlu menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.
“Tempoh ini juga memberi ruang kepada pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru untuk melaksanakan persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, fasa kedua pula bermula pada 28 Oktober ini apabila semua sekolah di seluruh Johor dijadualkan beroperasi sepenuhnya seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, pengoperasian semula sekolah itu tertakluk kepada perkembangan semasa kualiti udara di negeri ini.
Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan, termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa dan garis panduan berkuat kuasa.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau situasi jerebu secara berterusan bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan semasa.
Katanya, langkah berkenaan selaras dengan keutamaan kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan di Johor sentiasa terpelihara.
Sebelum ini, pada 7 Oktober lalu kerajaan negeri mengumumkan penutupan institusi pendidikan di Batu Pahat susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara.
Susulan itu, semua sekolah di Johor diarah ditutup selama dua hari bermula 8 hingga 9 Oktober sebelum dilanjutkan lagi lima hari dari 12 hingga 23 Oktober lalu.-KOSMO! ONLINE
The post Sekolah Johor dibuka berperingkat mulai esok appeared first on Kosmo Online.






