
KUALA LUMPUR - Empat lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, di sini.
Premis berkenaan dipercayai menawarkan persembahan tarian oleh warga asing kepada pelanggan tempatan dan luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula kira-kira jam 12.05 tengah malam semalam susulan maklumat orang awam serta risikan yang dijalankan selama sebulan.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga warga China dan seorang warga Filipina berusia antara 21 hingga 31 tahun.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Zakaria berkata, pusat hiburan yang mula beroperasi sejak tahun lalu itu dipercayai menyediakan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing melibatkan komuniti seks sejenis, dengan sasaran pelanggan tempatan serta warga asing di sekitar Lembah Klang.
Katanya, pelanggan dikenakan bayaran antara RM53 hingga RM700, bergantung kepada jenis minuman yang dipesan serta tempahan meja.
“Kesemua warga asing berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Tiga lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya. - Getaran, 27 September 2026






