Sektor perbankan kekal bertahan didorong permintaan pembiayaan stabil, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2025 • 10:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor perbankan kekal bertahan didorong permintaan pembiayaan stabil, kata penganalisis

image is not available

03/06/2025 - 10:54

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — Sektor perbankan di negara ini diunjur terus kekal bertahan, dengan didorong oleh permintaan pembiayaan stabil walaupun berdepan dasar perdagangan asing yang tidak menggalakkan, kata firma-firma penyelidikan.


Kenanga Research berkata, kebanyakan bank kekal berdaya tahan berikutan musim pendapatan baru-baru ini, disokong kadar pendedahan rendah kepada segmen berkaitan perdagangan yang secara kebiasaan di bawah lima peratus.


Ia merujuk Indeks Perkhidmatan Kewangan di Bursa Malaysia yang merosot lebih 6 peratus setakat ini, dibebani oleh faktor kebimbangan terhadap dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan kemelesetan yang lebih meluas.


"Kami menjangkakan tumpuan sektor perbankan yang lebih kukuh kepada aspek dipacu domestik seperti pinjaman perumahan serta pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana," kata firma tersebut dalam satu nota kajiannya.


Tambahnya, pinjaman sistem perbankan meningkat 5.1 peratus tahun ke tahun pada April 2025, sejajar dengan ramalan pertumbuhan setahun penuh Kenanga sekitar 6 peratus dan dijangka melonjak pada separuh kedua tahun ini.


Perkembangan tersebut kata firma berkenaan, disokong oleh kesan asas yang lebih tinggi serta permintaan agak kukuh untuk aktiviti pembiayaan modal pusingan kerja, terutamanya daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan.


"Kami tidak bimbang mengenai penurunan sedikit dari bulan ke bulan, kerana faham elemen bermusim mungkin masih berlangsung manakala pertumbuhan permohonan pinjaman pula terus kelihatan memberangsangkan," tambahnya.


Deposit kata Kenanga, meningkat sebanyak 3.8 peratus, dengan bank-bank terus memilih deposit jangka pendek untuk mengoptimumkan kos pembiayaan, sambil ia mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor perbankan.


Hong Leong Investment Bank (HLIB) pula menjangka pengurangan hingga 15 mata asas dalam kadar pinjaman promosi dan kempen sepanjang Mei, yang dilihat sebagai langkah proaktif kemungkinan pengurangan kadar dasar semalaman.


"Kualiti aset terus berdaya tahan tetapi kadar pinjaman purata terus mengecil, memberikan tekanan dan kami menjangkakan margin faedah bersih 2QFY25 akan bertahan pada pelbagai bentuk strategi," katanya dalam nota kajian.


Ini tambahnya termasuk pinjaman disiplin, kos pengurusan dana yang proaktif dan kecairan Keperluan Rizab Berkanun tambahan untuk mengimbangi sebahagian daripada kesannya.


Pilihan teratas dalam kalangan penganalisis termasuk AMMB Holdings Berhad untuk pulangan ekuiti yang bertambah baik dan pembayaran dividen lebih tinggi, manakala Malayan Banking Berhad untuk bahagian pasaran dominan dan kualiti aset industri. - DagangNews.com

standard