'Selagi kami masih bernafas, kamu tetap doa terindah…' – Luahan Abby Abadi buat anak-anak sentuh hati ramai

Family & ParentingLifestyle
24 Mar 2026 • 8:57 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KASIH seorang ibu dan ayah bukan sekadar pada saat kita kecil, tetapi berpanjangan, diam-diam menguatkan walau tidak selalu diungkap.

Luahan penuh emosi daripada prlakon dan usahawan, Abby Abadi baru-baru ini cukup menyentuh hati.

Bukan sekadar kata-kata biasa, tetapi seperti sepucuk surat terbuka buat anak-anak yang sedang membesar, mengenal dunia dan cabaran kehidupan.

“Kalau satu hari nanti mama, abah, papa, mummy tak lagi mampu pegang tangan-tanganmu sekuat hari ini, ingatlah… setiap langkahmu pernah kami doakan tanpa henti.”ujarnya.

Ayat itu sahaja sudah cukup menggambarkan betapa dalamnya kasih yang dipendam.

Dari saat pertama tangisan anak bergema, segalanya berubah, penat terasa ringan, lelah menjadi manis, dan air mata menjadi saksi kepada cinta yang tak berbelah bahagi.

image is not available

Sebagai ibu, Abby tidak menafikan bahawa kehidupan bukanlah sentiasa indah. Akan ada saat anak-anak jatuh, kecewa dan mungkin merasa keseorangan. Namun, dalam setiap jatuh itu, ada doa yang tidak pernah putus mengiringi.

“Walau kami tak mampu lindungi kamu setiap masa, kami tak pernah berhenti meminta ALLAH jaga kamu semua…" ujarnya penuh tulus.

Pesanan itu sederhana, tetapi cukup besar maknanya. Ia mengingatkan bahawa kasih ibu bapa tidak terhenti pada kehadiran fizikal semata-mata, sebaliknya terus hidup dalam setiap doa yang dipanjatkan.

Lebih menyentuh hati, Abby turut menitipkan pesan tentang jati diri. Dalam dunia yang sering menuntut kesempurnaan, beliau memilih untuk mengingatkan anak-anak supaya tidak takut menjadi diri sendiri.

“Jangan takut untuk menjadi diri sendiri… dan jangan lelah untuk jadi lebih baik dari hari ini," ujar pemilik nama sebenar, Arbaiyah Abdul Manan.

image is not available

Nasihat ini seakan-akan mengajak kita semua untuk kembali melihat kehidupan dengan lebih jujur, menjadi lebih baik setiap hari itu sudah cukup, tanpa perlu membandingkan diri dengan orang lain.

Dalam pada itu, satu lagi pesanan yang cukup dekat di hati, tentang ‘rumah’. Bukan sekadar tempat, tetapi rasa.

“Kalau satu hari nanti kamu rasa dunia ini berat… pulanglah.

"Pelukan kami mungkin tak mampu menyelesaikan segalanya, tapi cukup untuk buat kamu rasa ‘rumah’ masih ada," ungkap ibu kepada tiga cahaya mata.

Mengenang  budi

Hakikatnya, dalam kesibukan hidup, ramai yang lupa bahawa ‘rumah’ itu bukan hanya dinding dan bumbung, tetapi tempat di mana kita diterima tanpa syarat.

Tempat yang mana luka boleh dirawat, walau hanya dengan pelukan.

Abby juga tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk anak-anaknya. Tiada tuntutan untuk menjadi sempurna, sebaliknya cukup sekadar menjadi insan yang tahu menghargai.

“Kami tak minta kamu jadi sempurna… cukuplah kamu jadi anak yang mengenang budi, tahu nilai kasih sayang, tahu bezakan baik dan buruk," katanya lagi.

Pesanan ini membawa satu makna yang besar bahawa nilai kemanusiaan dan adab jauh lebih penting daripada kesempurnaan luaran.

image is not available

Di penghujung luahan, terselit doa yang paling tulus daripada seorang ibu.

“Selagi kami masih bernafas, kamu tetap doa terindah dalam hidup kami… Fi hifzillah sayang… sampai syurga," titipnya lagi penuh makna.

Luahan ini bukan hanya milik Abby semata-mata. Ia adalah suara hati ramai ibu bapa di luar sana yang mungkin tidak pandai meluah, tetapi sentiasa ada dalam diam.

Mungkin hari ini kita masih sibuk dengan dunia sendiri. Namun, sesekali berhentilah sejenak, hubungi mereka, pulanglah jika mampu, atau sekurang-kurangnya titipkan doa buat insan yang tidak pernah berhenti mendoakan kita.

image is not available

Kerana pada akhirnya, kasih ibu bapa itu bukan untuk dibalas… tetapi untuk dihargai, selagi mereka masih ada.