Hafiz Hamidun raikan 25 tahun seni menerusi Salawat The Beloved

EntertainmentMusic
31 Aug 2026 • 7:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hafiz Hamidun raikan 25 tahun seni menerusi Salawat The Beloved

KUALA LUMPUR: Selepas 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik, penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun tampil dengan album terbaharu berjudul Salawat The Beloved, sebuah karya yang cukup dekat dengan jiwa dan perjalanan seninya.

Diterbitkan Sony Music Malaysia, album itu menghimpunkan 10 karya selawat yang diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik lebih sinematik, kontemporari dan berskala besar.

Menurut Hafiz, selepas melalui pelbagai fasa sepanjang kerjayanya, beliau mahu kembali menghasilkan karya yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Selawat-selawat dalam album ini kebanyakannya sudah kita kenal dan amalkan sejak sekian lama. Ia diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih sinematik dan kontemporari, tetapi masih mengekalkan roh serta keindahan asalnya.

“Saya mahu orang mendengarnya bukan sekadar sebagai sebuah album, tetapi sebagai satu perjalanan spiritual dan emosi,” katanya.

Mengangkat konsep cinematic devotional music, album itu menggabungkan elemen orkestra, ambient, muzik dunia dan perkusi dengan sentuhan kontemporari.

Antara lagu yang dimuatkan ialah Ishfa’ Lana, Salawat Badriyah, Cinta Rasul, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Jibril dan Ya Nabi Salam Alaik.

Lebih menarik, beberapa video muzik bagi album berkenaan menjalani penggambaran di Uzbekistan, selain Istanbul, Turki dan Al-Ula, Arab Saudi.

Hafiz memilih Uzbekistan kerana negara itu mempunyai hubungan erat dengan sejarah dan tamadun Islam, di samping menawarkan latar visual yang unik menerusi lokasi seperti Samarkand dan Bukhara.

Menurutnya, penggambaran di negara itu turut mendapat kerjasama daripada Uzbekistan Tourism Committee.

“Saya rasa ia sangat sesuai dengan konsep album ini. Kita membawa karya yang berakar daripada tradisi Islam, tetapi dipersembahkan melalui visual yang sinematik dan bersifat antarabangsa,” katanya.

Bagi Hafiz, harapannya cukup sederhana iaitu mahu Salawat The Beloved menjadi karya yang terus menemani pendengar serta membawa mereka kembali berselawat dan mengingati Rasulullah SAW.

“Selepas 25 tahun dalam industri, saya melihat album ini bukan sekadar satu lagi album dalam katalog saya, tetapi sebagai sebuah karya yang merangkum perjalanan, kecintaan dan legasi yang saya mahu tinggalkan melalui muzik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Singapura, Vietnam dan Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong berkata, pihaknya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan penting Hafiz.

Katanya, album itu memperlihatkan usaha Hafiz memberikan sentuhan baharu kepada selawat yang sudah dikenali tanpa menghilangkan esensi asalnya.

Salawat The Beloved dilancarkan pada 21 Ogos 2026 dan kini boleh distrim menerusi semua platform digital.

The post Hafiz Hamidun raikan 25 tahun seni menerusi Salawat The Beloved appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved