Selangor akan perluas penggunaan AI dalam pentadbiran tahun depan

LocalTechnology
3 Sep 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor akan perluas penggunaan AI dalam pentadbiran tahun depan

PETALING JAYA, 3 SEPTEMBER: Kerajaan Negeri akan memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam mulai tahun depan, dengan beberapa program hackathon dilaksanakan bagi mengenal pasti penyedia teknologi yang sesuai.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pendekatan itu membolehkan Kerajaan Negeri menilai keupayaan penyedia teknologi berdasarkan penyelesaian yang ditawarkan, bukan semata-mata faktor kos.

“Tahun ini kita sudah meluangkan masa melaksanakan beberapa hackathon bagi mencari pembekal yang sesuai. Nanti akan ada pengumuman mengenai beberapa hackathon yang telah dilaksanakan.

“Bukan soal harga sahaja, tetapi keupayaan dan kebolehan mereka membantu kita memasukkan elemen AI dalam proses penting Kerajaan Negeri,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat TEDUH @ MBPJ di SS2, hari ini.

Image from: Selangor akan perluas penggunaan AI dalam pentadbiran tahun depan
EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah menandatangani plak perasmian di hadapan tempat rehat bagi penunggang e -hailing ketika majlis Perasmian Teduh@MBPJ di Taman Bandar SS2, Petaling Jaya pada 3 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN

Beliau berkata kerjasama dengan sektor swasta itu akan membantu memperluas penerapan teknologi berkenaan dalam pengurusan serta penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri.

“Dengan adanya rakan kolaborasi daripada pihak swasta ini, tahun depan kita akan memperluas penggunaan AI di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, langkah tersebut juga selari dengan usaha Selangor memperkukuh kedudukan sebagai negeri pintar dan bergerak ke arah penggunaan AI secara lebih menyeluruh.

“Ini akan memastikan negeri ini bukan sahaja terus menjadi sebuah negeri pintar, tetapi juga bakal menjadi negeri yang menggunakan AI secara lebih menyeluruh pada tahun hadapan.

“Saya rasa rakyat juga akan lebih teruja dengan adanya kerajaan yang berupaya memberi respons dengan lebih segera dan menggunakan maklumat untuk tujuan penggubalan dasar pada masa hadapan,” katanya.

Selangor sebelum ini menyasarkan menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan inisiatif Bandar AI yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan dalam pengurusan bandar serta penyelesaian pelbagai isu awam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved