amree16/11/2026 - 09:00 Gambar hiasan - DagangNews.com Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Kerajaan Selangor bakal membentangkan Kertas Putih Kecerdasan Buatan (AI) pada awal 2027 bagi memastikan penggunaan teknologi itu tidak menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepadanya sehingga menjejaskan keupayaan berfikir dan membuat keputusan sendiri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dokumen berkenaan akan menjadi kerangka panduan secara menyeluruh dalam membentuk pemikiran, interaksi dan keupayaan masyarakat negeri tersebut untuk dapat menyesuaikan diri dengan segala perkembangan pesat teknologi AI.
Menurut beliau, pendekatan tersebut turut melibatkan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara bijak tanpa mengabaikan pertimbangan dan penilaian manusia.
Tambah beliau, rakyat perlu melengkapkan diri dengan keupayaan memahami, mengendalikan dan menyesuaikan penggunaan AI supaya teknologi berkenaan dimanfaatkan secara bertanggungjawab.
"Kerangka ini akan turut menjadi panduan kepada rakyat Selangor dan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan kita tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada AI," kata Amirudin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Digital Kebangsaan bagi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) 2026, di Klang pada Ahad.

Mengulas lanjut, elemen literasi digital dan pemikiran kritis turut akan diterapkan menerusi program yang menyediakan 50,000 akses AI secara percuma hasil kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).
Kata Amirudin, elemen berkenaan akan dimasukkan dalam sukatan kursus yang dikawal selia dan diuruskan STDC seperti digariskan dalam Belanjawan Selangor 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan penguasaan teknologi digital penting bagi memperkukuh sektor pendidikan negara, khususnya dalam mempercepat pemahaman pelajar terhadap pembelajaran.
Malah, penggunaan teknologi digital membolehkan proses pembelajaran diteruskan secara dalam talian ketika negara berdepan dengan krisis atau bencana alam seperti jerebu dan banjir.
Terdahulu, karnival PIBKS 2026 yang bertemakan 'Sinergi Digital Memperkasa Pendidikan Madani' menampilkan 30 reruai pameran daripada Jabatan Pendidikan Selangor, agensi kerajaan dan rakan strategik.
Usaha penganjuran program berkenaan bagi memperluas penglibatan pihak berkepentingan dalam ekosistem pendidikan selaras dengan aspirasi Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035. - DagangNews.com






