amree16/11/2026 - 10:31 Foto kredit UMW Toyota Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Pembeli kereta hatchback segmen B di Malaysia kini mempunyai pilihan baharu apabila UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan model Yaris 2027 yang tampil dengan reka bentuk lebih sporty, teknologi terkini dan ciri keselamatan ditingkatkan pada harga bermula RM90,400.
Presidennya, Datuk Ravindran K. berkata, model terbaharu berkenaan turut ditawarkan dalam dua varian iaitu Yaris 1.5E AT dengan harga serendah RM90,400 manakala Yaris 1.5G AT pula sebanyak RM96,400, sekali gus meneruskan penawaran model berkenaan dalam pasaran automotif tempatan.
Jelas beliau, pembaharuan tersebut bertujuan memastikan Yaris kekal sebagai kompetitif dalam segmen B menerusi penampilan lebih sporty, peningkatan teknologi dengan ciri keselamatan tambahan tanpa model berkenaan mengabaikan aspek praktikaliti serta kebolehpercayaan.
Dari segi luaran, Yaris 2027 menerima reka bentuk hadapan Hammerhead yang diinspirasikan daripada bahasa reka bentuk model Toyota lain termasuk Camry, selain lampu utama LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED serta jalur lampu LED baharu di bahagian belakang.

"Penampilan tersebut turut dilengkapi bampar belakang lebih sporty dengan kemasan menyerupai gentian karbon matte serta rim aloi 16 inci baharu yang menampilkan reka bentuk jejari bertingkat dan kemasan mesin," kata Ravindran dalam kenyataan pada Isnin.
Ruang kabin pula menerima sistem paparan audio HD bersaiz sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan maklumat pemandu TFT berwarna 4.2 inci serta pengecas telefon pintar tanpa wayar dan port USB Type-C.
Varian 1.5G AT menawarkan ciri tambahan lebih premium termasuk tempat duduk kemasan kulit sintetik dengan reka bentuk sport seat serta stereng balutan kulit, manakala kedua-dua varian menyediakan ruang bagasi berkapasiti 390 liter dan tempat duduk belakang boleh dilipat pada nisbah 60:40.
Dari segi prestasi, kedua-dua varian berkenaan jelas beliau, menggunakan enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi CVT tujuh kelajuan Sport Sequential Shiftmatic, selain tiga mod pemanduan iaitu Normal, ECO dan Sport.

"Aspek keselamatan turut diperkukuh menerusi Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collision System dan Lane Departure Alert, selain Vehicle Stability Control, Traction Control, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert," tambah beliau.
Model itu ujar Ravindran, turut dilengkapi sistem pemantauan pandangan panorama 3D, tujuh beg udara SRS serta perakam video digital hadapan beresolusi 4K, manakala varian 1.5E AT kini menerima sensor parkir hadapan dan empat sensor parkir belakang.
Selain itu, sistem Vehicle Telematics System (VTS) turut disediakan bagi membolehkan pemilik mendapatkan maklumat perjalanan dan amaran berkaitan kenderaan, manakala ciri keselamatan tambahan merangkumi sistem penggera dan immobiliser enjin.
UMWT kata beliau, turut menawarkan jaminan selama tempoh lima tahun tanpa had perbatuan bagi setiap unit Yaris baharu, selain sokongan selepas jualan menerusi rangkaian pusat servis Toyota di seluruh negara.
Toyota Yaris 2027 ditawarkan dalam tiga pilihan warna badan satu tona iaitu Red Mica Metallic, Platinum White Pearl dan Silver Metallic, selain dua pilihan warna dua tona iaitu Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. - DagangNews.com




