liza30/09/2026 - 18:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept – Selangor Dredging Berhad (SDB) mempunyai RM155.78 juta jualan belum dibil daripada projek kediaman yang sedang dibangunkan ketika prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) terjejas akibat peralihan fasa pembangunan.
Pengarah Urusan Kumpulan SDB, Teh Lip Kim berkata beberapa pembangunan terdahulu telah selesai sementara projek baharu masih berada pada peringkat awal pembinaan, menyebabkan sumbangan kepada hasil kumpulan berbeza mengikut tahun kewangan.
“Keputusan kami mencerminkan masa kitaran pembangunan. Sebagai pemaju, penyelesaian satu projek dan kemajuan projek seterusnya boleh memberi kesan ketara kepada hasil dari tahun ke tahun,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-65 SDB hari ini.
Beliau berkata, tumpuan SDB adalah memastikan projek semasa dilaksanakan dengan baik, di samping membina saluran pembangunan baharu bagi menyokong kesinambungan perniagaan kumpulan.
Prestasi FY2026 menyaksikan SDB mencatat kerugian sebelum cukai RM35.64 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM29.71 juta setahun sebelumnya, manakala hasil merosot kepada RM173.87 juta daripada RM375.95 juta.
RM155.78 juta jualan belum dibil daripada projek semasa
Jualan belum dibil RM155.78 juta itu datang daripada dua projek kediaman yang masih berjalan, iaitu DaMai di Taman Melawati, Selangor dan Elina Resort Homes @ Senai di Puchong, Selangor.
Kedua-dua projek berkenaan terus mencatat jualan, dengan SDB mengekalkan aktiviti pembangunan ketika beberapa projek terdahulu telah selesai.
Kumpulan bagaimanapun merekodkan kerugian bersih RM41.07 juta bagi FY2026, mencerminkan kesan peralihan antara projek yang telah siap dengan pembangunan baharu yang masih dalam fasa awal.
SDB sedia projek baharu di Pulau Pinang
Dalam pada itu, SDB merancang pembangunan kediaman berhampiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang merangkumi 122 vila superlink tiga tingkat serta sebuah rumah kelab dengan kemudahan untuk penduduk.
Projek berkenaan menjadi sebahagian daripada perancangan SDB untuk mengembangkan saluran pembangunan ketika projek sedia ada bergerak ke fasa lebih matang.
Pada masa sama, kumpulan mengetengahkan identiti jenama “TRUE, ALWAYS” menerusi manifesto “SDB Walking Our Talk, Always” yang menggariskan tujuh komitmen dalam pembangunan kediaman.
Antara komitmen tersebut ialah memahami cara masyarakat menjalani kehidupan, menerapkan kualiti dalam pembinaan rumah sejak awal, mendengar dan belajar, membangunkan projek secara bertanggungjawab serta memberikan perhatian kepada setiap pembangunan.
Teh berkata, manifesto itu menerangkan piawaian yang mahu diterapkan SDB dalam setiap projek, termasuk menunaikan janji serta menghasilkan kediaman yang terus dihargai pemilik selepas mereka berpindah masuk.
28 projek pembangunan di Malaysia dan Singapura
Lebih dua dekad dalam sektor pembangunan hartanah, SDB setakat ini telah menyiapkan 28 projek pembangunan di Malaysia dan Singapura serta menerima 69 anugerah dan pengiktirafan.
Antara projek yang menerima pengiktirafan ialah 20trees di Taman Melawati yang memenangi Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia bagi pembangunan kediaman bertingkat rendah, manakala Jui Residences di Singapura menerima anugerah emas dunia FIABCI Prix d’Excellence bagi pembangunan kediaman bertingkat sederhana. - DagangNews.com




