liza28/09/2026 - 14:25 Pusat beli belah sedia ada di Sichuan, China Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept – Parkson Holdings Bhd melalui anak syarikatnya, Parkson Retail Group Ltd (PRGL) memeterai perjanjian pajakan selama 20 tahun bagi sebuah hartanah di Mianyang City, Sichuan, China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Parkson Holdings berkata PRGL menerusi anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya, Mianyang Fulin Parkson Plaza Co Ltd, memeterai perjanjian itu dengan Mianyang Yuancheng Integrated Development Group Co Ltd pada 28 September 2026.
Perjanjian berkenaan melibatkan ruang seluas kira-kira 38,511 meter persegi yang merangkumi tingkat bawah tanah, tingkat pertama hingga keempat serta tingkat mezanin di Zijing Plaza, Mianyang City.
Pusat beli-belah baharu
Parkson merancang mengendalikan sebuah pusat beli-belah di hartanah berkenaan menggunakan jenama Parkson, dengan menawarkan pelbagai aktiviti peruncitan, makanan dan minuman, hiburan serta perkhidmatan komersial lain.
Pajakan itu akan bermula pada tarikh sebenar hartanah berkenaan dibuka kepada orang ramai. Tarikh pembukaan dijangka pada 1 Julai 2027 dan selewat-lewatnya pada 1 Oktober 2027.
Mengikut piawaian pelaporan kewangan IFRS 16, PRGL akan mengiktiraf hartanah berkenaan sebagai aset hak guna bernilai kira-kira RMB60.9 juta, bersamaan sekitar RM37.1 juta.
Hampir 30 tahun di Mianyang
Parkson berkata PRGL telah menjalankan operasi di Mianyang City selama hampir 30 tahun dan ketika ini mengendalikan sebuah pusat beli-belah, dua gedung serbaneka serta dua pasar raya di bandar berkenaan.
Kumpulan itu merancang memperkenalkan format cawangan bandar (city outlet) di hartanah baharu berkenaan yang terletak di kawasan komersial utama.
Menurut Parkson, peluasan itu akan membolehkan kumpulan terus mengembangkan kehadirannya di Mianyang menerusi penambahan sebuah lokasi perniagaan baharu di bandar berkenaan.
Tidak beri kesan material kepada FY2026
Dari sudut peraturan penyenaraian Hong Kong, transaksi berkenaan dikategorikan sebagai pemerolehan aset dan merupakan urus niaga yang perlu didedahkan kerana nisbah peratusan tertinggi yang terpakai melebihi 5% tetapi kurang daripada 25%.
Parkson berkata transaksi itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham.
Pada masa sama, pemerolehan aset hak guna berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap keuntungan kumpulan atau aset bersih Parkson Holdings bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. - DagangNews.com






