
Selangor Kekal Penyumbang Terbesar Ekonomi Negara - Amirudin
Selangor terus mengekalkan kedudukannya sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu meningkat kepada RM460.1 bilion pada 2025 berbanding RM432.1 bilion pada 2024.
Perkara itu dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor 2026 baru-baru ini.
Pencapaian itu menyaksikan sumbangan Selangor kepada keseluruhan KDNK negara meningkat kepada 26.5 peratus berbanding 26.2 peratus pada tahun sebelumnya.
Selangor kekal mendahului negeri-negeri lain dari segi saiz ekonomi, diikuti Wilayah Persekutuan yang mencatat KDNK sebanyak RM277.4 bilion atau 16 peratus daripada ekonomi negara, Johor RM171.0 bilion (9.9 peratus), Sarawak RM170.2 bilion (9.8 peratus) dan Pulau Pinang RM127.6 bilion (7.4 peratus).
Lima negeri berkenaan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK negara, dengan sebahagiannya turut merekodkan pertumbuhan tahunan yang mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi nasional.
Amirudin berkata, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 6.3 peratus pada tahun lalu, melepasi sasaran pertumbuhan yang ditetapkan antara 5.8 hingga 6.2 peratus, selain mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi negara.
Baca juga:
Infantino Terima Sokongan Penuh Pimpinan FIFA, Akui Kesilapan Dalam Pelaburan Swasta Piala Dunia
"Saya Tak Boleh Keluar Dari Trolak Bang" Jawapan Nazz Husain Buat Ramai Tersentuh
Beliau berkata, saiz ekonomi Selangor kini 1.7 kali ganda lebih besar berbanding Wilayah Persekutuan, 2.5 kali ganda berbanding Johor dan Sarawak, serta 3.6 kali ganda berbanding Pulau Pinang.
Menurut beliau, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi negara, disokong oleh pengukuhan sektor perkhidmatan, pembuatan berteknologi tinggi, perdagangan, pelaburan, logistik serta pembangunan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, kedudukan tersebut turut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) serta pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh struktur ekonomi dan meningkatkan daya saing Selangor.






