Selangor rancang bangunkan ‘super app’ integrasi 12 PBT

LocalTechnology
10 Aug 2026 • 12:03 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Selangor rancang bangunkan ‘super app’ integrasi 12 PBT

KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor berhasrat membangunkan satu aplikasi bersepadu atau 'super app' yang akan menyatukan pelbagai perkhidmatan dan saluran aduan daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, memaklumkan bahawa inisiatif ini diambil bagi memudahkan urusan harian rakyat melalui pengaksesan satu platform setempat yang mesra pengguna.

Langkah berkenaan juga disuarakan bagi menjawab keluhan orang ramai yang sering keliru akibat terlalu banyak aplikasi berasingan yang diwujudkan oleh setiap PBT ketika ini.

“Saya ambil maklum tentang cadangan yang diberikan. Baru-baru ini kita juga terima aduan daripada pelanggan … banyak sangat aplikasi. Jadi kadang-kadang mereka (rakyat) pun keliru (nak guna aplikasi).

“Saya yakin dengan kaedah (cadangan ini) yang kita akan guna pakai dan ditambah baik setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) berhubung perancangan mewujudkan platform aduan berintegrasi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Jaminan keselamatan data dan kaunter fizikal kekal

Mengulas mengenai kebimbangan pencerobohan maklumat, Suee Lim memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kerahsiaan data pengguna menjadi keutamaan utama kerajaan negeri.

Menurutnya, pemantauan berkala akan dijalankan, manakala vendor yang dilantik untuk membangunkan serta mengoperasikan super app itu bakal melalui proses tapisan ketat bagi memastikan hanya penyedia berkeupayaan dipilih.

Dalam pada itu, beliau turut menepis kebimbangan golongan yang tidak celik digital, terutamanya warga emas dan penduduk luar bandar, dengan mengesahkan perkhidmatan kaunter fizikal PBT tidak akan ditutup. - 10 Ogos, 2026

The post Selangor rancang bangunkan ‘super app’ integrasi 12 PBT appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved