Pahang rangka dasar komprehensif tangani pokok berisiko

LocalEnvironment
10 Aug 2026 • 2:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pahang rangka dasar komprehensif tangani pokok berisiko

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang sedang merangka dasar komprehensif bagi menangani risiko pokok tumbang di seluruh negeri termasuk cadangan mewujudkan zon penampan di kawasan hutan simpan yang berhampiran jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, langkah tersebut susulan kejadian pokok tumbang yang mengorbankan empat nyawa di Janda Baik, Bentong baru-baru ini serta beberapa kawasan lain di negeri ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mencari penyelesaian secara menyeluruh.

“Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian yang proaktif supaya kejadian seperti ini dapat dikurangkan, terutama apabila membabitkan pokok berhampiran laluan kenderaan.

“Antara cadangan adalah mewujudkan zon penampan yang bersesuaian di kawasan hutan simpan yang mempunyai jalan raya bagi mengurangkan risiko pokok tumbang menghempap laluan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Lawatan Perkhidmatan Bas, di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, pihaknya turut mengarahkan semua PBT mendapatkan laporan tentang jumlah dan lokasi pokok berusia serta berisiko, termasuk pokok bernilai tinggi yang perlu dipelihara di kawasan pentadbiran masing-masing.

Menurutnya, pokok-pokok berusia yang mempunyai nilai estetika tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya sebaliknya perlu diperiksa secara berkala oleh arborist atau pakar penjagaan pokok bagi menentukan tahap kesihatan serta tindakan yang diperlukan.

“Kalau kita mahu pelihara pokok lama yang bernilai tinggi, ia perlu mendapat pengesahan pihak bertauliah. Mungkin perlu dipangkas, dibaja, dirawat atau disuntik berdasarkan laporan terperinci.

“Kalau pakar mengesahkan pokok itu sudah tidak dapat diselamatkan dan membahayakan orang ramai, barulah tindakan menebang boleh dipertimbangkan oleh PBT,” katanya. – UTUSAN

 

The post Pahang rangka dasar komprehensif tangani pokok berisiko appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved