Selangor rangka sokongan ekosistem kesihatan negeri

LocalHealth & Fitness
25 Sep 2026 • 5:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Sokongan kesihatan

SHAH ALAM: Elemen sokongan kepada isu tekanan yang dihadapi oleh pegawai perubatan (houseman) yang ditempatkan di hospital-hospital di negeri ini akan diberikan perhatian dalam kerangka Belanjawan Selangor 2027.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia menjadi sebahagian daripada kerangka intervensi untuk memberikan sokongan yang turut melibatkan jururawat.

Katanya, bagaimanapun perkara itu juga tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan bagi mewujudkan ekosistem kesihatan yang seimbang antara keperluan rakyat dan petugas perubatan.

“Bukan sekadar sokongan, tetapi ekosistem kesihatan kita. Itu bukan baharu, yang saya sudah dengar sekarang. Mungkin kita boleh fikirkan satu penyelesaian, satu sokongan.

“Tetapi, saya perlukan permintaan secara spesifik tentang perkara yang diperlukan dan akan tengok dalam bidang kuasa kita (negeri) yang mampu diberikan,” katanya dalam sesi soal jawab pada program Libat Urus Belanjawan 2027 Selangor.

Terdahulu, perkara tersebut dibangkitkan oleh seorang peserta berkenaan kewujudan masalah tekanan dalam kalangan doktor pelatih (houseman) sehingga berlaku insiden bunuh diri di salah sebuah hospital di negeri ini.

Menurutnya, tekanan tersebut berlaku dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan doktor-doktor muda apabila mendakwa tiada penyelesaian secara berkesan dilakukan oleh kementerian.

Jelas Amirudin, pihaknya turut meneliti elemen sokongan berbentuk kesihatan mental yang boleh diselaraskan secara bersama-sama melalui portfolio kesihatan awam negeri dengan kementerian bagi membantu petugas perubatan.

“Jenis sokongan yang bagaimana sebenarnya diperlukan, bincang semula dengan kami sebab saya takut kita salah. Mungkin sokongan dalam bentuk penempatan seperti rumah (contohnya),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Universiti Selangor (Unisel) sedang membantu melatih jururawat bagi memenuhi keperluan-keperluan di hospital swasta.

“Kerana kekurangan jururawat merupakan cabaran besar kita. Tetapi, kita mulakan dengan kolej perubatan di Unisel yang kemudian dihantar ke hospital-hospital swasta.

“Ya kita akan pantau (keperluan dalam ekosistem kesihatan), kita akan sokong tetapi sekarang isu intervensi, apa yang kita boleh bantu? Pertama, mungkin kita akan melihat bagaimana sukongan kita kepada doktor dan pasukan perubatan dengan jururawat,” ujarnya. – UTUSAN

The post Selangor rangka sokongan ekosistem kesihatan negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved