Selangor tekad realisasi RS-2, sasar jadi negeri contoh ASEAN - MB

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 7:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor tekad realisasi RS-2, sasar jadi negeri contoh ASEAN - MB

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor bertekad merealisasikan keseluruhan inisiatif Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, sekali gus menjadikan negeri ini contoh di Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aspirasi itu memerlukan pelaburan yang berterusan selain usaha bersama untuk menangani pelbagai cabaran pembangunan negeri.

Image from: Selangor tekad realisasi RS-2, sasar jadi negeri contoh ASEAN - MB
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Pra-Pelancaran Agenda Selangor bagi Ekonomi Hijau (SAGE) 2025-2035 sempena Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“RS-2 menetapkan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri contoh di ASEAN. Ini bermakna pelaburan merupakan perkara yang amat penting. Namun, usaha kita tidak boleh terhenti setakat itu sahaja.

“Semua cabaran ini memerlukan usaha bersama. Kita perlu menggembleng kekuatan intelektual dan kepakaran yang kita miliki untuk mencari penyelesaian, agar generasi muda berasa yakin, selamat dan diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup Selangor Investment Forum (SIF) 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Amirudin berkata Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif ekonomi bagi menterjemahkan visi RS-2 kepada tindakan, antaranya dasar Speed Selangor, cadangan Laluan Rel Kita Selangor dan Agenda Selangor bagi Ekonomi Hijau (SAGE) 2025-2035.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh daya saing negeri, malah membuka lebih banyak peluang kepada rakyat menerusi pembangunan yang mampan.

“Secara keseluruhannya, usaha-usaha ini membuktikan bagaimana kita menterjemahkan visi RS-2 kepada tindakan yang nyata, sekali gus memperkukuh daya saing Selangor dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat kita,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut melancarkan inisiatif Malaysia Digital Location Recognition (MDLR) yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Invest Selangor dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan inisiatif MDLR pada peringkat negeri menerusi penjenamaan khusus MDLR@Selangor.

Image from: Selangor tekad realisasi RS-2, sasar jadi negeri contoh ASEAN - MB
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato' Hasan Azhari Idris menandatangani plak ketika Pelancaran Inisiatif Malaysia Digital Location Recognition (MDLR) @ Selangor Investment Forum sempena Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Inisiatif itu menyediakan rangka kerja berstruktur untuk mengiktiraf lokasi digital strategik menerusi tiga kategori, iaitu MD Hub, MD Nexus dan MD Tech Zone.

Rangka kerja berkenaan bertujuan memperkukuh ekosistem digital negara melalui penyediaan infrastruktur berkualiti, persekitaran yang menyokong inovasi serta lokasi yang bersedia menerima pelaburan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved