Selangor umum 1 September cuti peristiwa selepas juarai SUKMA 2026

24 Aug 2026 • 10:03 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor umum 1 September cuti peristiwa selepas juarai SUKMA 2026

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Selangor mengumumkan 1 September sebagai cuti peristiwa bagi meraikan kejayaan kontinjen negeri muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Pengumuman itu dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Penutup SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini malam ini.

“Atas prestasi luar biasa dalam SUKMA 2026, serta sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet dan kira-kira 10,000 sukarelawan yang membantu sepanjang temasya ini, saya dengan berbesar hati mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas sempena kejayaan SUKMA 2026.

“Cuti peristiwa khas itu ditetapkan pada 1 September 2026, iaitu Selasa depan,” katanya.

Image from: Selangor umum 1 September cuti peristiwa selepas juarai SUKMA 2026
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Aneka Walk, Shah Alam pada 24 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

Kejayaan itu menyaksikan kontinjen Merah Kuning menamatkan temasya dengan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan keseluruhan 245 pingat.

Pencapaian berkenaan sekali gus menyaksikan Selangor melepasi sasaran awal 80 emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Selangor turut meninggalkan pencabar terdekat, Wilayah Persekutuan yang menduduki tempat kedua dengan 51 emas, diikuti Terengganu (43 emas) dan Sarawak (41 emas).

Sebelum ini, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi  memaklumkan sebarang keputusan berhubung cuti peristiwa sempena kejayaan Selangor pada SUKMA hanya akan diumumkan secara rasmi pada majlis penutup temasya dwitahunan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved