Selangor yakin catat rekod pelaburan lebih RM100 bilion pada 2026

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 2:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Selangor yakin catat rekod pelaburan lebih RM100 bilion pada 2026 Image from: Selangor yakin catat rekod pelaburan lebih RM100 bilion pada 2026 hamden08/09/2026 - 14:53 Kapal kontena belayar keluar dari Northport di Pelabuhan Klang, Selangor - Gambar Johardy/DagangNews2026 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept - Selangor yakin melepasi sasaran pelaburan RM80 bilion tahun ini dan berpotensi mencipta rekod baharu melebihi RM100 bilion susulan momentum pelaburan yang kekal kukuh.

 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri itu telah merekodkan kira-kira RM70 bilion pelaburan setakat pertengahan 2026, sekali gus meletakkannya di landasan untuk mengatasi sasaran tahunan.

 

“Kita menetapkan sasaran RM80 bilion, sama seperti pencapaian pada 2025. Namun, sehingga pertengahan 2026, kita sudah mencapai RM70 bilion dan itu merupakan yang tertinggi di Malaysia.

 

“Dengan trend ini, kita sangat yakin dapat melepasi sasaran RM80 bilion. Malah, jika momentum kekal baik, kita percaya mampu mencipta rekod melebihi RM100 bilion,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan milikan kosong NCT Smart Industrial Park (NSIP) hari ini.

 

Amirudin berkata Selangor merekodkan sekitar RM33 bilion hingga RM34 bilion pelaburan pada suku pertama 2026 sebelum jumlah itu meningkat kepada RM70 bilion pada suku kedua.

 

Prestasi tersebut selari dengan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menunjukkan Selangor merekodkan RM70 bilion pelaburan diluluskan menerusi 835 projek pada separuh pertama 2026, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.

 

Menurut Amirudin, kerajaan negeri akan meneruskan misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, dengan pasukan Invest Selangor dijadualkan berkunjung ke Perancis dan Berlin pada September.

 

“Kita juga cuba pergi ke luar negara. Pada September, pasukan Invest Selangor akan ke Perancis dan Berlin. Sebelum ini, kita pergi ke Korea dan beberapa tempat lain,” katanya.

 

Beliau berkata strategi konsisten kerajaan negeri dalam menjalankan misi pelaburan ke luar negara membantu Selangor mengekalkan momentum kemasukan pelaburan.

 

Selangor sebelum ini merekodkan pelaburan sekitar RM80 bilion pada 2025, manakala jumlah pelaburan pada tahun sebelumnya melebihi RM100 bilion.

 

Amirudin berkata prospek pelaburan negeri turut disokong pembangunan kawasan perindustrian baharu termasuk NSIP, selain kawasan Bukit Raja di Klang dan beberapa projek infrastruktur strategik lain.

 

Beliau turut melihat pembangunan pelabuhan ketiga di Carey Island serta operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jadual pada penghujung tahun sebagai antara pemangkin yang boleh merancakkan lagi aktiviti pelaburan di Selangor.

 

Bagi NSIP, lebih 200 kilang dijangka mula beroperasi selepas memperoleh kelulusan, dengan sebahagian besar syarikat yang terlibat ketika ini terdiri daripada perusahaan tempatan.

 

NSIP yang merupakan pembangunan sulung di bawah Pelan Induk Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS) meliputi kira-kira 368.26 hektar tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM10.2 bilion. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved