Aspirasi AI dan automasi dorong pelaburan termaju 

Business & Finance
10 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aspirasi AI dan automasi dorong pelaburan termaju 

MUKADIMAH

Kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor pilihan di rantau Asia Tenggara terus kukuh apabila syarikat penyedia peralatan pembuatan berteknologi tinggi global, Galatek Technologies, memilih negara ini sebagai lokasi pelaburan terbaharu mereka.

Pemilihan ini membolehkan Galatek memanfaatkan kestabilan dasar serta kematangan sektor perkilangan termaju tempatan bagi memperkukuh rantaian bekalan global mereka di rantau ini.

Kehadiran fasiliti terbaharu di Pulau Pinang ini bukan sahaja memperluas kapasiti pembuatan syarikat, malah menyokong aspirasi negara untuk melangkah lebih jauh ke dalam rantaian nilai tinggi industri semikonduktor.

Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI menemubual Pengurus Besar (Malaysia) Galatek Technologies, RAINING ZHANG, bagi mengupas faktor strategik pelaburan tersebut, peranan fasiliti baharu, serta visi syarikat dalam membangunkan bakat tempatan.

 

UTUSAN: Apakah faktor utama yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi strategik bagi pelaburan ini?

RAINING ZHANG: Malaysia, terutamanya Pulau Pinang, menawarkan gabungan mantap antara kematangan industri, kestabilan dasar serta kepakaran mendalam dalam pembuatan berteknologi tinggi.

Dari sudut perspektif strategik, kedudukan Malaysia dalam ekosistem rantaian bekalan Asia Tenggara menjadikannya lokasi ideal bagi operasi serantau dan global kami.

Kami juga teruja dengan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan sektor elektrik dan elektronik (E&E), di samping ketersediaan bakat berpengalaman serta infrastruktur yang kukuh.

Kesemua faktor ini menyediakan asas yang sangat teguh untuk pembuatan termaju dan industri berteraskan inovasi seperti Galatek.

Keterbukaan Malaysia terhadap pelaburan asing serta fokus negara untuk menaik naik taraf kepada pembuatan nilai tambah tinggi amat selari dengan strategi peluasan global jangka panjang kami.

 

Bagaimanakah ekosistem tempatan menyokong pertumbuhan syarikat pembuatan peralatan berteknologi tinggi seperti Galatek?

Pulau Pinang telah membina ekosistem semikonduktor yang amat matang dan terintegrasi selama beberapa dekad.

Negeri ini menjadi kediaman kepada rangkaian syarikat pembuat peralatan asal (MNC), pembekal tempatan, firma kejuruteraan ketepatan dan penyedia perkhidmatan sokongan.

Keadaan ini mewujudkan persekitaran yang sangat cekap untuk kolaborasi, penyumberan bahan serta inovasi bersama.

Bagi pembuat peralatan berteknologi tinggi seperti Galatek, ekosistem ini amat berharga kerana ia memendekkan kitaran pembangunan produk dan meningkatkan kebolehpercayaan rantaian bekalan.

Kewujudan bakat kejuruteraan, institusi penyelidikan dan asas pembekal yang kuat terus memantapkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan termaju serantau.

 

Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai keupayaan fasiliti baharu ini dan peranannya dalam operasi pembuatan serta rantaian bekalan global Galatek?

Fasiliti baharu kami di Malaysia direka untuk bertindak sebagai nod utama dalam rangkaian pembuatan dan rantaian bekalan global Galatek.

Ia bakal menyokong keupayaan pemasangan termaju, integrasi sistem, ujian kualiti dan kejuruteraan ketepatan bagi penyelesaian peralatan kami.

Selain fungsi pengeluaran, fasiliti ini turut memainkan peranan dalam optimasi proses, jaminan kualiti dan sokongan pelanggan untuk pasaran global.

Langkah ini membolehkan kami melayani pelanggan di pasaran Asia, Eropah dan Amerika Utara dengan kecekapan serta responsif yang lebih tinggi.

Fasiliti di Malaysia ini bukan sekadar tapak pengeluaran, sebaliknya ia merupakan platform strategik yang memperkukuh daya tahan penyampaian global kami.

 

Pada pandangan anda, apakah peluang yang wujud untuk Malaysia melangkah lebih jauh ke peringkat atas rantaian nilai industri ini?

Malaysia sudah sedia berada pada kedudukan yang baik dalam rantaian nilai semikonduktor global dan fasa pertumbuhan seterusnya adalah melangkah ke peringkat huluan.

Peluang besar ini merangkumi bidang pembuatan peralatan termaju, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta integrasi peringkat sistem.

Wujud potensi besar untuk memperdalam keupayaan tempatan dalam kejuruteraan ketepatan, automasi dan bahan termaju menerusi kerjasama akademik dan industri.

Peluang terpenting sebenarnya terletak pada pembangunan ekosistem secara menyeluruh dan bukannya pertumbuhan syarikat individu semata-mata.

Malaysia mempunyai keupayaan untuk berevolusi daripada asas pembuatan yang kuat kepada rakan inovasi global dalam industri semikonduktor.

 

Dengan peningkatan permintaan terhadap AI, automasi, dan teknologi semikonduktor termaju, bagaimanakah anda melihat evolusi pasaran peralatan ketepatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang?

Kemajuan pantas teknologi AI, pengkomputeran berprestasi tinggi dan semikonduktor generasi baharu memacu permintaan berterusan terhadap sistem peralatan ketepatan yang lebih canggih.

Kami melihat peningkatan keperluan terhadap ketepatan yang lebih tinggi, kitaran pengeluaran yang lebih pantas dan kecerdasan proses yang lebih mendalam.

Automasi kini bukan lagi sekadar mengenai kecekapan pengeluaran, sebaliknya ia menjadi pemboleh daya kritikal bagi kawalan kualiti dan skala pembuatan termaju.

Industri kini bergerak ke arah sistem pembuatan pintar berasaskan data di mana peralatan memainkan peranan teras dalam membolehkan inovasi berskala besar.

 

Bagaimana Galatek menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan dan kepakaran teknikal di Malaysia?

Pembangunan bakat merupakan keutamaan kunci bagi Galatek di Malaysia untuk jangka masa panjang.

Kami komited untuk membina bukan sahaja keupayaan operasi, malah kepakaran teknikal jangka panjang dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

Ini merangkumi program latihan terstruktur, pembangunan teknikal di tempat kerja dan pemindahan pengetahuan daripada pasukan global kami.

Kami juga berhasrat untuk memberikan pendedahan kepada piawaian antarabangsa dan amalan pembuatan termaju kepada pekerja tempatan.

Galatek turut merancang untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan tempatan bagi melahirkan generasi jurutera dan pakar teknikal baharu.

 

Sejauh manakah Galatek bekerjasama dengan pembekal tempatan, pemain industri dan institusi pendidikan untuk menyokong pembangunan ekosistem inovasi ini?

Kolaborasi merupakan teras utama kepada keseluruhan strategi perniagaan Galatek di Malaysia.

Kami melihat peluang besar untuk bekerja rapat dengan pembekal tempatan, penyedia perkhidmatan kejuruteraan, rakan pembuatan dan universiti.

Objektif kami adalah untuk menjadi bahagian terintegrasi dalam ekosistem inovasi dan pembuatan tempatan yang lebih luas.

Seiring peluasan global Galatek, kami berhasrat membawa rakan kongsi tempatan ke dalam rantaian bekalan antarabangsa kami.

Kejayaan Malaysia dan kejayaan Galatek adalah saling berkait rapat di mana semakin kukuh ekosistem tempatan, semakin kuat keupayaan kita untuk melayani pelanggan global bersama-sama. – UTUSAN

The post Aspirasi AI dan automasi dorong pelaburan termaju  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved