
Oleh PUTRAJAYA: Sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan maju serta peralihan tenaga akan terus menjadi keutamaan pelaburan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hala tuju tersebut berpandukan dasar utama negara termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan agenda peralihan tenaga.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan modal, malah bertujuan meningkatkan daya saing syarikat tempatan supaya mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi.
“Pendekatan GLC dan GLIC adalah melihat usaha yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi Madani,” katanya pada sesi Taklimat Kemajuan GEAR-up 2026 di sini hari ini.
Katanya, ketika ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk usaha menarik lebih banyak pelaburan ke dalam sektor tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah Nasional Berhad turut memainkan peranan penting dalam menarik dana serta memperkukuh ekosistem semikonduktor negara melalui dana dan program pembangunan yang bersesuaian.
Menurutnya, syarikat bersaiz pertengahan turut diberikan perhatian kerana kumpulan tersebut menyumbang kira-kira 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Syarikat bersaiz pertengahan mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun sering berdepan kekangan dalam usaha meningkatkan skala perniagaan.
“Kami turut memperkenalkan Program Pertumbuhan dan Inovasi Syarikat Bersaiz Pertengahan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti dan pengurusan risiko pertumbuhan.
“Program ini bukan semata-mata menyediakan modal, tetapi membantu syarikat membina keupayaan untuk berkembang dengan lebih yakin.
“Kita menggunakan metodologi yang lazim digunakan syarikat multinasional dan syarikat global besar untuk membantu syarikat tempatan melihat peluang masa depan serta mengurangkan risiko ketika memperluaskan operasi,” katanya.
Jelasnya lagi, program itu turut disokong oleh pembiayaan daripada dana ekuiti persendirian yang memberi tumpuan kepada syarikat bersaiz pertengahan berpotensi tinggi.
Katanya, melalui gabungan pembiayaan dan pembangunan kapasiti, pihaknya berharap lebih banyak syarikat tempatan berani mengambil risiko untuk berkembang dan seterusnya memperkukuh ekosistem perniagaan negara. – UTUSAN
The post Semikonduktor, pembuatan maju antara fokus utama GLC, GLIC tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






