Selepas bertahun-tahun ditutup, kolam renang Bangsar akhirnya dibuka semula

7 Nov 2026 • 5:38 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Selepas bertahun-tahun ditutup, kolam renang Bangsar akhirnya dibuka semula

KUALA LUMPUR – Selepas bertahun-tahun ditutup dan melalui kerja-kerja pengubahsuaian yang berlarutan, kolam renang di Kompleks Sukan Bangsar akhirnya dibuka semula hari ini, sekali gus memberi peluang kepada penduduk untuk kembali menggunakan kemudahan komuniti itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa kolam renang berkenaan boleh digunakan orang ramai mulai hari ini selepas kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian selesai dilaksanakan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata penduduk Bangsar dan kawasan Lembah Klang dialu-alukan untuk berkunjung ke kompleks sukan itu serta menggunakan kemudahan kolam renang yang telah dinaik taraf.

“Mulai hari ini, orang ramai boleh datang ke Kompleks Sukan Bangsar dan menikmati kemudahan kolam renang yang telah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan baik pulih sejak sekian lama, namun akhirnya kini dibuka kepada semua.

“Jadi, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung hari ini. Jika mempunyai sedikit masa terluang, saya berharap mereka dapat menikmati pengalaman itu,” katanya ringkas kepada Scoop ketika dihubungi.

Pembukaan semula itu menamatkan penantian panjang penduduk yang tidak dapat menggunakan kemudahan kolam renang berkenaan selama beberapa tahun selepas ia mengalami kerosakan.

Image from: Selepas bertahun-tahun ditutup, kolam renang Bangsar akhirnya dibuka semula
Kerja-kerja pengubahsuaian itu merangkumi naik taraf kolam renang dewasa dan kanak-kanak, penambahbaikan sistem peredaran air, pembaikan saliran serta penggantian lampu sedia ada dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga. - Gambar media sosial Anna Chan, 7 November, 2026

Scoop sebelum ini melaporkan bahawa kolam renang sepanjang 25 meter itu sedang menjalani projek naik taraf bernilai RM3.5 juta yang dibiayai menerusi peruntukan dalaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kerja-kerja pengubahsuaian itu merangkumi naik taraf kolam renang dewasa dan kanak-kanak, penambahbaikan sistem peredaran air, pembaikan saliran serta penggantian lampu sedia ada dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga.

Kemudahan tambahan termasuk bilik stor, kaunter tiket mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan kawasan penonton berbumbung turut disediakan bagi meningkatkan aksesibiliti serta keselesaan pengunjung.

Kedalaman asal kolam renang itu, iaitu antara 0.9 meter hingga 1.5 meter, dikekalkan dalam kerja-kerja pengubahsuaian berkenaan.

Kemudahan itu sebelum ini terbiar lebih empat tahun, manakala penutupan berpanjangan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berhubung air bertakung yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk, susulan peningkatan kes denggi.



Susulan laporan Scoop pada Disember 2024, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berjanji mengambil tindakan segera dan mengarahkan pegawai melakukan pemeriksaan di kemudahan berkenaan.

Dibina oleh DBKL pada 1978, Kompleks Sukan Bangsar turut menempatkan gelanggang futsal berumput tiruan, empat gelanggang tenis, empat gelanggang badminton yang turut digunakan untuk pickleball serta sebuah gimnasium.

Pembukaan semula kolam renang itu dijangka mengembalikan kemudahan rekreasi penting kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk yang sekian lama menantikan ia kembali beroperasi selepas bertahun-tahun tidak dapat menggunakannya. - 7 November 2026

The post Selepas bertahun-tahun ditutup, kolam renang Bangsar akhirnya dibuka semula appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved