
Operasi Network School (NS) telah ditutup di Forest City Johor pada Julai lalu selepas pihak berkuasa mendapati ia melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan. Penutupan berlaku selepas NS didapati mempunyai beberapa peserta yang memegang pasport Israel serta pengasasnya dipetik berkata ingin menjadikan NS sebuah negara berdaulat.

Selepas dihalau di Malaysia, NS kini membuka lebaran baharu di Kazakhstan. Pengumuman dilakukan oleh pengasas NS, Balaji Srinivasan menerusi akaun media sosial beliau pagi ini. Kampus NS dibuka di Astana, ibu negara Kazakhstan. Seperti NS di Forest City, kampus baharu ini akan menjadi tempat pertemuan nomad teknologi yang ingin duduk dalam komuniti yang sama.
Permohonan untuk menyertai Network School Kazakhstan telah dibuka dengan bayaran bermula $900 sebulan merangkumi tempat tinggal, makan minum, akses kepada kelengkapan riadah dan sekolah teknologi untuk syarikat pemula.





