
JOHOR BAHRU: “Anak abah, insya-Allah dunia akhirat,” luah seorang bapa yang reda kehilangan anaknya selepas Mohammad Haikal Ramzi, 12, ditemukan lemas di kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang, awal pagi semalam.
Mohamad Khairudi Setapa, 42, berkata, lebih menyedihkan, beberapa hari lalu anak keduanya daripada tiga beradik itu ada meminta dibelikan permainan robot yang dijual dalam kotak-kotak kecil.
“Dia juga minta ibunya bekal untuk menyimpan wang belanja bagi membeli permainan tersebut.
“Saya beritahu tunggu abah gaji, tetapi selepas gaji dia tidak meminta-minta lagi untuk dibelikan. Arwah pinjaman daripada Allah, saya hanya sempat menjaga dia selama 12 tahun sahaja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang, di sini semalam.
Mohamad Khairudi berkata, Mohammad Haikal adalah seorang anak yang aktif dan mudah berkawan, termasuk dengan rakan yang baharu dikenalinya.
Katanya, mangsa dan rakannya, Muhammad Adam Faris Arman, 11, yang turut ditemukan lemas, baru berkenalan beberapa hari.
“Haikal memang budak yang baik. Dia kerap bermain di luar bersama rakan-rakan pada waktu petang dan biasanya pulang sebelum pukul 7 malam.
“Kelmarin dia keluar bermain seperti biasa, tetapi selepas pukul 7 malam masih tidak pulang menyebabkan keluarga mula risau,” katanya.
Menurutnya, keluarga kemudian mencari mangsa di beberapa lokasi sebelum seorang rakannya mencadangkan supaya mencari di kawasan empangan berkenaan. – UTUSAN
The post ‘Beberapa hari sebelum ini, dia minta mainan robot’ appeared first on Utusan Malaysia.





