
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menggesa rakan kongsi antarabangsa supaya menghentikan urusan dengan Nicaragua selepas badan perundangan negara itu mengundi mengharamkan parti pembangkang daripada menyertai pilihan raya.
Rubio dalam satu kenyataan berkata, Dewan Undangan Nicaragua yang dikuasai pemerintahan autoritarian Daniel Ortega dan isterinya yang merupakan Presiden Bersama Rosario Murillo sekali lagi menghakis sisa-sisa demokrasi di negara itu dengan meminda perlembagaan bagi mengukuhkan dinasti tidak sah mereka.
Katanya, tindakan itu juga menafikan hak rakyat Nicaragua untuk menikmati pilihan raya yang bebas dan adil.
“Pemerintahan diktator yang menafikan hak asasi rakyatnya tidak seharusnya menikmati manfaat ekonomi atau politik yang sama seperti kerajaan yang komited mempertahankan hemisfera keamanan dan keselamatan.
“AS menggesa rakan kongsi antarabangsa supaya segera menghentikan urusan seperti biasa dengan pemerintahan diktator yang kejam ini,” katanya.
Pengharaman parti pembangkang daripada menyertai pilihan raya itu diluluskan sebulat suara pada Selasa dalam satu sidang khas yang diadakan di luar bangunan badan perundangan negara Amerika Tengah itu dan dijangka disahkan secara rasmi tahun depan.
Pentadbiran Nicaragua itu kini dilihat bakal menjadi sasaran sekatan AS selepas Iran yang berdepan tekanan ekonomi melalui pelbagai sekatan yang menyasarkan sektor minyak, kewangan dan perdagangan negara itu.
Awal minggu ini Washington melancarkan kempen sekatan baharu bagi mengasingkan ekonomi Iran dan menyekat sumber pendapatan Teheran, ketika konflik ketenteraan antara kedua-dua negara terus berlarutan. – AFP
The post Selepas Iran AS sasar Nicaragua appeared first on Utusan Malaysia.





