Taliban perkukuh hubungan luar tanpa pengiktirafan rasmi

WorldPolitics
12 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Taliban perkukuh hubungan luar tanpa pengiktirafan rasmi

KABUL: Lima tahun selepas kembali berkuasa, pemerintahan Taliban semakin berjaya menjalin hubungan dengan sejumlah negara meskipun kerajaan itu masih tidak mendapat pengiktirafan rasmi secara meluas.

Russia kekal sebagai satu-satunya negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban secara rasmi, manakala kebanyakan negara Barat masih menuntut pembaharuan dalam isu hak asasi manusia, terutama hak wanita dan kanak-kanak perempuan, sebelum mengambil langkah sama.

Namun, banyak negara tetap berhubung dengan Taliban atas pertimbangan praktikal, termasuk Britain dan negara anggota Kesatuan Eropah (EU). 

Negara-negara Asia Tengah turut meningkatkan kerjasama dengan Kabul bagi mendapatkan laluan perdagangan melalui Afghanistan ke pelabuhan.

Strategi diplomatik Taliban adalah menerima kunjungan wakil dari China, Jepun, Turkiye, Arab Saudi dan Britain, selain menggalakkan projek infrastruktur rentas sempadan untuk merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat pengurangan bantuan antarabangsa.

Kerajaan Taliban turut memperluas sektor perlombongan bagi menarik pelaburan asing, terutama dari negara jiran seperti China. Bagaimanapun, pelaburan masih terhad kerana kebimbangan terhadap status pengiktirafan rasmi kerajaan berkenaan.

Pada masa sama, hubungan Taliban dengan negara luar semakin meluas termasuk dalam isu keselamatan dan penghantaran pulang pencari suaka. Delegasi Taliban mengadakan rundingan dengan 15 negara EU di Brussels pada Jun mengenai penghantaran pulang pencari suaka yang permohonannya ditolak.

Menurut Ketua Program Pencegahan Konflik dan Pembinaan Keamanan Berterusan di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Erica Gaston, negara-negara serantau sentiasa lebih pragmatik dalam berurusan dengan kerajaan Taliban.

“Anda melihat lebih banyak keterbukaan dalam kalangan negara anggota serantau untuk berkata, inilah realiti yang kita hadapi di rantau ini dan hubu­ngan dengan mereka tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beberapa negara tampil sebagai pengantara tahun ini ketika Afghanistan dan Pakistan terlibat dalam konflik bersenjata, dengan China menjadi tuan rumah rundingan selepas ratusan orang awam terbunuh.

Menurut PBB, Qatar, Arab Saudi, Oman, Iran, Turkiye, Uzbekistan dan Malaysia turut terlibat dalam usaha menghentikan pertempuran berkenaan.

India, musuh utama Pakistan, pula memperkukuh hubungan dengan kerajaan Taliban selepas New Delhi mendapatkan pengecualian sekatan tahun lalu bagi membolehkan Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, melakukan lawatan ke negara itu.– AFP

The post Taliban perkukuh hubungan luar tanpa pengiktirafan rasmi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved