Selepas Mansur & Liu, apa lagi M. Nasir?

EntertainmentMusic
26 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Selepas Mansur & Liu, apa lagi M. Nasir?

Hampir lima puluh tahun berkarya, kerja seni Datuk M. Nasir sudah melewati garis usia sebahagian besar khalayak, pemuja dan peminatnya. Ada yang mengenal namanya sejak zaman Kembara, ada yang membesar dengan lagu-lagu ciptaannya, malah tidak kurang yang menemui M. Nasir melalui karya-karya yang lahir jauh sebelum dilahirkan.

Zaman bertukar, selera berubah, medium berganti, tetapi nama M. Nasir masih menemukan jalan untuk berada di tengah-tengah perbualan seni ketika ini. Menarik bukan?

Beliau tidak kelihatan terlalu selesa atau gentar duduk di kerusi yang disediakan legasinya sendiri. Daripada muzik, lakonan dan penerbitan kepada konsert, kini teater muzikal, bezanya melihat kerja M. Nasir kali ini, semacam kegelisahan kreatif yang enggan membenarkan beluau berhenti pada satu bentuk.

Lantas, selepas tirai Mansur & Liu dilabuhkan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 20 September lalu, persoalan yang lebih mengusik bukan lagi tentang kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri

Liu, tetapi apa lagi yang mahu dicari M. Nasir selepas hampir lima dekad berkarya?

Legasi bukan sahaja boleh menjadi mahkota, tetapi juga bayang-bayang. Semakin panjang sejarah seseorang seniman, semakin kuat kecenderungan khalayak mengukur karya baharu dengan karya lama. Mansur & Liu menarik untuk dilihat sebagai tindakan kreatif M. Nasir, bukan sekadar debutnya sebagai pengarah teater muzikal yang ada tuntutan muzik, menghidupkan watak, mengatur gerak, membina suasana dan menyatukan pelbagai unsur menjadi sebuah pentas bernyawa.

Namun, percubaan itu hadir bersama hampir lima dekad sejarah yang membentuk jangkaan khalayak terhadap dirinya. Sesetengah lirik dan melodi daripada muzikal itu terasa akrab, seolah-olah membawa gema bahasa muzik yang pernah didengar sebelumnya.

M. Nasir juga pernah menyatakan bahawa puas hati tidak ada dalam perbendaharaan katanya. Walaupun mengakui pencapaian barisan pelakon, beliau masih melihat ruang untuk mereka melakukan lebih baik. Barangkali, selepas sekian lama berkarya, yang dicari bukan lagi pengiktirafan, tetapi kemungkinan bahasa seni yang belum diterokai dan pengalaman yang belum diterjemahkan kepada khalayak.

Menariknya, perjalanan itu tidak berhenti selepas Mansur & Liu. Pada 5 Disember nanti, Panggung Sari yang sama akan menjadi pentas Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5, persembahan yang meraikan lima dekad perjalanan muziknya melalui 30 karya pilihan dengan susunan baharu bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Di sinilah terletak paradoksnya. Mansur & Liu membawa M. Nasir ke ruang yang belum pernah diterokainya, manakala Magnum Opus mengembalikannya kepada karya yang telah membina sejarahnya. Satu bergerak ke hadapan, satu lagi menoleh ke belakang, tetapi kedua-duanya bertemu pada seorang seniman yang belum menganggap perjalanan kreatifnya selesai.

Selepas Mansur & Liu, mungkin persoalannya bukan lagi sebesar mana legasi yang telah dibina, tetapi apa lagi yang masih mahu dicipta. Kerana bagi seorang seniman, tirai yang ditutup tidak semestinya menandakan pengakhiran. Kadangkala, itulah hanya membuka pentas untuk pencarian yang seterusnya.

The post Selepas Mansur & Liu, apa lagi M. Nasir? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved