johardy18/09/2026 - 15:33 Dari kiri: Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif Batu Kawan Bhd, Dr Tunku Alina Raja Muhd Alias; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Timbalan Pengerusi TMK Chemical Bhd, Leong Chao Seong; dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Pengarah Urusan TMK Chemical, Wong Kin Wah pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan pada 18 September 2026. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Batu Kawan Berhad memeterai perjanjian bersyarat bernilai RM939.87 juta untuk menjual Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) kepada TMK Chemical Bhd, sekali gus menukar cadangan tidak mengikat yang diumumkan lebih tiga bulan lalu kepada perjanjian jual beli saham yang muktamad.
Perjanjian itu ditandatangani pada Jumaat, sehari sebelum tempoh eksklusiviti yang dilanjutkan sebanyak dua kali dijadualkan tamat, menurut Batu Kawan dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
TMK Chemical akan membayar RM438.55 juta secara tunai dan menerbitkan 262.5 juta saham baharu kepada Batu Kawan pada harga RM1.9098 sesaham. Saham berkenaan bernilai RM501.32 juta berdasarkan harga terbitan yang dipersetujui.
TMK Chemical pada awalnya menawarkan RM920 juta untuk memperoleh CCM berdasarkan kedudukan bebas tunai dan bebas hutang menerusi surat hasrat bertarikh 8 Jun 2026, yang diterima secara prinsip oleh Batu Kawan pada 12 Jun 2026.
Nilai pelupusan itu meningkat kepada RM939.87 juta selepas mengambil kira tunai CCM sebanyak RM99.45 juta dan menolak hutang RM79.58 juta setakat 31 Mei 2026.
Tempoh eksklusiviti awal selama dua bulan sepatutnya tamat pada 12 Ogos 2026. Tempoh itu dilanjutkan terlebih dahulu sehingga 12 September sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 19 September bagi membolehkan kedua-dua syarikat meneruskan rundingan mengenai dokumen transaksi.
Batu Kawan bakal kuasai 20.8% kepentingan dalam TMK Chemical
Selepas urus niaga itu selesai, saham baharu berkenaan akan memberikan Batu Kawan kepentingan langsung sebanyak 20.8% dalam modal saham TMK Chemical yang diperbesarkan. Bersama-sama pihak yang bertindak secara bersama, pegangan kolektif mereka dalam TMK Chemical akan meningkat kepada 57.4% daripada 46.2%.
Peningkatan tersebut lazimnya akan mencetuskan kewajipan untuk membuat tawaran mandatori bagi memperoleh baki saham TMK Chemical.
Bagaimanapun, Batu Kawan tidak bercadang melaksanakan tawaran itu dan akan memohon pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang menjadi antara syarat urus niaga berkenaan.
Batu Kawan merancang menggunakan RM436.55 juta atau 99.5% daripada hasil tunai untuk membayar balik sebahagian pinjaman bank dan sukuk. Langkah itu dijangka menghasilkan penjimatan kos pembiayaan kasar kira-kira RM18.34 juta setahun berdasarkan kadar faedah purata 4.2%.
Kumpulan itu menjangkakan keuntungan pro forma kira-kira RM598.16 juta daripada pelupusan berkenaan, termasuk pelarasan penilaian mengikut harga pasaran sebanyak RM312.43 juta berikutan perbezaan antara harga saham TMK Chemical sebanyak RM3.10 pada 17 September dengan harga terbitan RM1.9098 yang dipersetujui. Keuntungan sebenar hanya dapat ditentukan selepas urus niaga selesai.
Urus niaga itu tidak merangkumi syarikat bersekutu CCM, Orica-CCM Energy Systems Sdn Bhd, serta dua bidang tanah di Selangor dan Pahang. Batu Kawan berkata, pelupusan tersebut membolehkannya memberi tumpuan kepada perniagaan perladangan dan pembangunan hartanah sambil mengekalkan pendedahan terhadap industri kimia menerusi pegangannya dalam TMK Chemical.
Urus niaga itu diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan kerana Pengerusi Batu Kawan, Tan Sri Lee Oi Hian dan Pengarah Urusannya, Datuk Lee Hau Hian merupakan adik-beradik kepada pemegang saham utama TMK Chemical, Datuk Lee Soon Hian dan Lee Oi Loon. Pengarah serta pemegang saham utama yang berkepentingan akan mengecualikan diri daripada perbincangan dan pengundian mengenai transaksi tersebut.
Pelupusan itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham tidak berkepentingan, SC dan Bursa Malaysia. Sekiranya tiada keadaan luar jangka, urus niaga tersebut dijangka selesai menjelang suku pertama 2027. — DagangNews.com





