amree27/08/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos — TMK Chemical Berhad mampu menjana keuntungan berikutan pengambilalihan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) yang dalam proses dimuktamadkan, jelas TA Securities.
Langkah berkenaan ujar firma penyelidikan itu, dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan dan mengukuhkan penguasaan kumpulan tersebut dalam pasaran klor-alkali tempatan yang cukup luas.
Selain itu jelasnya, usaha pengambilalihan dilihat mengimbangi cabaran kumpulan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan selepas kenaikan kukuh prestasi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26).
"Cadangan ini yang masih lagi dalam proses dianggarkan mampu menyumbang kira-kira RM67 juta kepada keuntungan bersih teras TMK Chemical selepas disepadukan sepenuhnya," kata analisis TA Securities.
Susulan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY27 dan FY28 masing-masing 38.3% dan 36.2% setelah mengambil kira sumbangan daripada CCM selepas urus niaga tersebut diselesaikan.
Bagi 1HFY26, keuntungan bersih teras sebanyak RM66.1 juta adalah sejajar jangkaan dan mewakili 47% unjuran bagi keseluruhan tahun kewangan, dengan mengisytiharkan dividen interim 3.6 sen sesaham.
Ujar TA Securities, bagi 2QFY26, hasil TMK Chemical meningkat 17.7%, dipacu harga purata jualan (ASP) yang kukuh bagi portfolio klor-alkali, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 98.8%.

"Secara suku ke suku, hasil naik 28.6%, manakala PBT bertambah 44.8%, dengan permintaan sektor semikonduktor, petrokimia, utiliti dan pusat data (DC) dijangka menjana pertumbuhan," katanya.
Firma itu menjangkakan momentum pendapatan kekal kukuh pada separuh kedua FY26, dengan jumlah jualan pada Julai dan Ogos terus positif, manakala harga jualan klor-alkali dijangka kekal stabil.
Pengembangan fasiliti TMK Chemical jelas TA Securities, berada di landasan ditauliahkan pada suku pertama 2027, dengan kadar penggunaan kapasiti dijangka meningkat kepada 80% menjelang 2HFY27.
Pihak pengurusan menjangka loji baharu mampu menjana keuntungan tambahan RM4 juta sebulan, sekali gus memberi lonjakan bermakna kepada pendapatan kumpulan apabila operasi mencapai kadar optimum.
"Pengambilalihan CCM yang dijangka pada pertengahan September 2026 pula menyumbang PBT tahunan hingga RM90 juta manakala pegangan pasaran klor-alkali pula boleh meningkat kepada 85%," katanya.
Justeru, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap TMK Chemical dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM3.48 sesaham berbanding RM3.00 sebelum ini, berdasarkan perkembangan semasa tersebut.
Kedudukan dominan kumpulan dalam pasaran, prospek pertumbuhan yang lebih kukuh selepas pengambilalihan CCM serta pertambahan kapasiti daripada fasiliti turut menjana hasil. - DagangNews.com





