Selesai Pertikaian Adat Guna Saluran Sewajarnya - MB

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 6:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Selesai Pertikaian Adat Guna Saluran Sewajarnya - MB

SEREMBAN - Pertikaian membabitkan institusi adat dan diraja Negeri Sembilan perlu diselesaikan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata, ia juga perlu diselesaikan melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa dalam perkara berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak berniat mengambil alih peranan institusi adat dalam menentukan penyelesaian terhadap pertikaian itu.

Sebaliknya, Ismail menggesa semua pihak menggunakan saluran sewajarnya bagi mencari jalan penyelesaian demi memulihkan keharmonian di negeri itu.

“Sebarang keputusan akhir yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa berdasarkan adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri akan dihormati oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jelas Ismail, kerajaan negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab berdasarkan mandat yang diberikan rakyat, termasuk memastikan pentadbiran dan perkhidmatan awam berjalan seperti biasa.

“Kerajaan negeri tidak mencari sebarang pertembungan dengan institusi diraja. Kita juga tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik.

“Namun pada masa sama, pertikaian berkaitan adat dan institusi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengganggu, mengugut atau menghalang kerajaan negeri yang sah daripada melaksanakan mandat yang diberikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut bertanggungjawab memelihara kewibawaan institusi adat dan diraja di Negeri Sembilan.

Mengulas kebuntuan yang berlaku ketika ini, Ismail menggesa semua pihak kembali kepada nilai tradisi Negeri Sembilan dalam usaha menyelesaikan semua perbezaan. 

“Dalam menghadapi masa yang mencabar ini, kita perlu kembali kepada falsafah Negeri Sembilan itu sendiri; Biar mati anak, jangan mati adat’.

“Adat mesti dipertahankan, perlembagaan dijunjung, mandat rakyat dihormati dan institusi dilindungi. Semoga kebijaksanaan, muafakat dan rasa tanggungjawab terhadap Negeri Sembilan akhirnya dapat mengatasi segala perbezaan,” katanya.

Kemelut yang berlaruran itu memberi kesan langsung kepada pentadbiran negeri apabila anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) difahamkan dilarang memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri dan menjalankan tugas rasmi sejak semalam.

Ismail mengesahkan perkara itu, sambil berkata, arahan berkenaan disampaikan secara lisan tanpa sebarang arahan bertulis.

Menurutnya, sekatan terbabit berpotensi menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri, khususnya urusan berkaitan pembangunan, tuntutan dan bantuan kepada rakyat.

“Tiada perintah mahkamah atau arahan bertulis berhubung sekatan ini. Saya menggesa pihak berkuasa meneliti semula perkara berkenaan, membenarkan anggota Exco memasuki pejabat dan menjalankan tugas seperti biasa.

“Mesyuarat Exco juga perlu diteruskan,” katanya.

Perkembangan terbaharu berkenaan dilihat menambah tekanan terhadap Ismail, apatah lagi saat kemelut antara kerajaan negeri dengan institusi adat dan diraja semakin tegang.

Sumber yang rapat dengan istana memberitahu, pergerakan Menteri Besar itu kini semakin sempit susulan tindak balas terhadap cara kerajaan negeri mengendalikan krisis berkenaan.

Sumber menyifatkan, Ismail seolah-olah “checkmate” dan semakin tersepit selepas kerajaan pimpinannya terus ‘menderhaka’ meskipun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengesahkan serta mengisytiharkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah.

Keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Ismail dan anggota Exco yang sebelum ini telah melafazkan sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Perkembangan terbaharu itu juga mencetuskan kemarahan berhubung layanan terhadap pemerintah, khususnya dalam kalangan pihak yang melihat tindakan kerajaan negeri sebagai mencabar kedudukan institusi adat dan diraja Negeri Sembilan.

Justeru, kemelut yang tercetus kini bukan lagi sekadar berkisar mengenai tafsiran adat atau peruntukan perlembagaan, sebaliknya turut menyentuh soal hubungan antara kerajaan negeri dengan institusi adat dan diraja serta kelangsungan pentadbiran negeri. - Getaran, 24 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved