Selisih faham punca wanita OKU dibunuh, dua ahli keluarga ditahan

23 Sep 2026 • 11:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selisih faham punca wanita OKU dibunuh, dua ahli keluarga ditahan
Laporan Sinar Harian pada 23 September 2026.

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman di sebuah rumah di Kampung Cheh Kati, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam kira-kira 2.38 petang selepas ahli keluarga menyedari mangsa berada dalam keadaan tertiarap, tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Menurutnya, polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki merupakan ahli keluarga mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Polis turut menemui sebilah pisau yang disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu media melaporkan mangsa, Nor Ainon Omar, 49, ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah kampung berkenaan yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.

Heisham berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Mohamad Fadhil Ab Wahab dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar di talian 05-7762222.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved