“Sempat minta tolong suami” – Wanita OKU Maut Dit*kam Dari Celahan Papan Rumah, Polis Jumpa Pisau Di Kebun Sawit

24 Sep 2026 • 10:26 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 2026 09 24T101729.412

Sebuah kejadian menyayat hati berlaku di Kampung Cheh Hilir, Kati apabila seorang suri rumah Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat ditikam di kediamannya pada Rabu.

Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah kampung yang didiaminya bersama suami dan tiga orang anak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid, beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira jam 2 petang.

Artikel berkaitan: Kes Tikam Bandar Utama: Tertuduh Mengaku Suka Mangsa Sebelum T*kam 200 Kali

Artikel berkaitan: Lelaki OKU Lagak Wanita Di Pejabat Agama Didakwa

Setibanya di rumah berkenaan, beliau mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak bergerak, selain terdapat kesan kecederaan serta pendarahan pada bahagian betis.

Nur Halim memberitahu, suami mangsa yang ketika itu berada di rumah dan sedang memasak sempat mendengar isterinya meminta pertolongan sebelum meminta bantuan penduduk kampung yang bekerja sebagai penoreh getah berhampiran.

“Saya kemudian datang ke rumah dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

Suaminya memberitahu, isterinya sempat mengatakan kakinya dicucuk dengan benda tajam dari bahagian bawah rumah melalui celahan papan,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, salah seorang daripada tiga anak mangsa tidak berada di rumah. Penduduk kampung kemudian bertindak membantu mencari remaja berusia 15 tahun itu sebelum menemuinya di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran sekolah.

“Penduduk memujuk anak mangsa untuk pulang ke rumah sebelum dia dibawa berjumpa ibunya. Polis yang tiba kemudian turut menjalankan pemeriksaan dan soal siasat.

Polis turut menemui sebilah pisau di kawasan kebun kelapa sawit selepas anak mangsa menunjukkan lokasi berkenaan,” ujar Nur Halim lagi.

Menurut beliau, mangsa serta keluarganya sudah lama menetap di rumah berkenaan yang merupakan kediaman keluarga sebelah suaminya.

Malah, selain mangsa, suami serta ketiga-tiga anak mereka merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di mana kesemua anak mereka memegang kategori OKU yang berbeza.

Adik ipar mangsa, Suliana Jalaluddin, 37, memaklumkan beliau mengetahui tragedi itu kira-kira jam 2.16 petang selepas menerima mesej daripada abangnya menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

“Hubungan arwah, suami dan tiga anak mereka memang rapat. Arwah merupakan OKU, begitu juga ketiga-tiga anak mereka.

Anak sulung berusia 17 tahun merupakan OKU fizikal akibat kecederaan terbakar yang dialami sebelum ini, manakala dua lagi anak termasuk yang dikaitkan dengan kejadian ini adalah OKU pembelajaran,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihak polis akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan selepas siasatan selesai dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved