Lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 11 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan kemudahan penerbangan ketenteraan untuk menjalankan kegiatan penyeludupan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut membawa kepada rampasan sebanyak 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta, memetik Berita Harian.
Advertisement
Menurutnya, kesemua suspek yang terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.
Siapa Yang Terlibat Dalam Kes Penyeludupan Dadah Ini?
Menurut Hussein, kejayaan membongkar sindiket berkenaan adalah hasil kerjasama risikan strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.
Siasatan awal mendapati sindiket tersebut dipercayai mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara ketenteraan bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah.
“Hasil kerjasama perisikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM, satu sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan, telah berjaya dibongkar.
“Pada 17 November lalu, JSJN Bukit Aman melaksanakan beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan yang membawa kepada penahanan itu.”
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menjadikan Sabah sebagai laluan sebelum bekalan dadah diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Operasi tersebut turut membawa kepada rampasan 6.98kg cecair bahan kimia yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
Modus Operandi Seludup Dadah Pakai Aset TUDM
Mengulas lanjut, Hussein memaklumkan bahawa dua daripada enam individu awam yang ditahan dipercayai memainkan peranan sebagai koordinator bagi mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah.
Bagaimanapun, pihak polis masih giat memburu seorang lagi warga Malaysia yang disyaki merupakan ketua sindiket tersebut.
Usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket serta mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat.
View this post on Instagram
Menurut Hussein, modus operandi kumpulan itu menunjukkan bagaimana kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara dipercayai telah dieksploitasi untuk kegiatan jenayah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM, khususnya Cawangan Provos Marsyal, atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang operasi dijalankan.
Lima Pegawai TUDM Direman Tujuh Hari
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, kelima-lima pegawai TUDM yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November 2026 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, enam individu awam yang turut diberkas dikenakan tahanan reman antara dua hingga lima hari.
“Lima pegawai TUDM terbabit direman tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini, manakala individu awam ditahan pula direman antara dua hingga lima hari.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek individu awam positif metamfetamina, manakala seorang daripada tangkapan awam mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.”
Selain rampasan dadah, pihak polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Antara aset yang disita ialah dua kenderaan jenis Honda CR-V dan Toyota Vios dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM126,062.
Kes Disiasat Mengikut Seksyen ?
Menurut Hussein, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Pihak polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket yang disyaki mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera untuk tujuan penyeludupan dadah.
Kesemua individu yang ditahan setakat ini masih berstatus suspek dan belum disabitkan dengan sebarang kesalahan oleh mahkamah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Bedah Siasat Sahkan Pelajar Tingkatan 3 Meninggal Dunia Akibat Jerutan, Polis Tidak Kesan Unsur Buli
The post Seludup Dadah 96.64KG Dadah Pakai Aset Tentera, Lima Pegawai TUDM Antara 11 Ditahan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






