hamden12/10/2026 - 12:55 Kompleks Pejabat Kerajaan Persekutuan di Jalan Duta - Gambar hiasan KUALA LUMPUR 12 Okt - Semantan Estate (1952) Sdn Bhd memfailkan saman baharu terhadap kerajaan bagi menuntut penjualan tanah Duta Enclave di Kuala Lumpur dan pembayaran hasil jualan kepada syarikat itu, atau pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa yang dianggarkan antara RM12 bilion hingga RM13 bilion.
Syarikat yang sedang melalui proses penggulungan sukarela oleh ahli itu mendakwa masih menjadi pemilik benefisial bagi tanah seluas 263.272 ekar berkenaan, meskipun keputusan mahkamah terdahulu menghalang usaha mendapatkan semula milikan fizikal serta hak milik berdaftar tanah itu.
Menurut laporan FMT, dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi minggu lalu, Semantan Estate mendakwa kerajaan terus menduduki dan memperoleh manfaat daripada tanah berkenaan walaupun keputusan mahkamah pada 2009 memutuskan bahawa pengambilan tanah itu terbatal sejak awal (void ab initio).
Saman itu difailkan menerusi firma guaman AG Kalidas Doris & Nada, dengan syarikat diwakili pelikuidasinya, Jim Lai.
Defendan dalam tindakan itu termasuk Kerajaan Malaysia, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan lima lagi pegawai persekutuan yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran serta pendaftaran tanah.
Semantan Estate mendakwa kerajaan mengambil alih tanah berkenaan antara 1956 hingga 1958, kononnya untuk dijadikan kawasan diplomatik, namun tanah itu kemudiannya digunakan bagi tujuan lain.
Tapak berkenaan kini menempatkan pelbagai pejabat kerajaan, bangunan kebudayaan dan komersial, jalan raya serta kemudahan infrastruktur.
Pegang hak milik atas dasar amanah
Menurut syarikat itu, Putrajaya memegang tanah dan hak milik berkenaan atas dasar amanah bagi pihaknya, justeru kerajaan perlu menjual tanah tersebut dan menyerahkan hasil jualannya kepada Semantan Estate.
Syarikat itu turut berhujah bahawa penggunaan nilai tanah pada 1956 akan menyebabkan pihaknya kehilangan hampir keseluruhan nilai ekonomi hartanah berkenaan, memandangkan nilai sementara tanah itu pada tahun berkenaan dianggarkan hanya RM1.58 juta.
Antara tuntutan yang dikemukakan ialah pampasan berasaskan prinsip ekuiti susulan pelanggaran amanah, ganti rugi atas pelanggaran hak harta di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, serta pemulangan manfaat yang diperoleh kerajaan daripada pendudukan dan penggunaan tanah itu secara berterusan.
Pada Jun 2025, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pendaftar tanah memindahkan hak milik kepada Semantan Estate.
Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penilaian tanah perlu dibuat berdasarkan nilainya pada 3 Disember 1956, berserta faedah tahunan 6% mengikut Enakmen Pengambilan Tanah terdahulu.
Mahkamah Persekutuan kemudian menolak permohonan kebenaran Semantan Estate untuk merayu keputusan itu pada November 2025.
Bagaimanapun, Semantan Estate berhujah bahawa tuntutan baharu berkenaan berbeza daripada prosiding terdahulu yang tertumpu kepada pemindahan hak milik tanah, kerana tindakan terkini turut melibatkan tuntutan berkaitan amanah, pampasan dan manfaat yang diperoleh kerajaan.
Pengurusan kes pertama bagi saman baharu itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Anand Ponnudurai, pada 3 November ini. - DagangNews.com






