hamden05/10/2026 - 12:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt - My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah Kumpulan MYEG, gagal menyalurkan RM314 juta hasil kutipan kerajaan kepada Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah tersebut melibatkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan kepada akaun tersebut.
“Dari 19 Mei hingga 30 September, jumlah tuntutan terhadap syarikat-syarikat ini mencecah RM314 juta, melibatkan hasil kutipan kerajaan yang belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, turut hadir pada sidang media berkenaan.
Loke pada masa sama menafikan dakwaan bahawa kementerian dan JPJ gagal mengambil tindakan terhadap perkara itu selama tiga tahun.
“Itu tidak betul. Tempoh tiga tahun itu tidak tepat. Tunggakan ini bermula pada Mei tahun ini, hanya beberapa bulan lalu,” katanya.
Pada Jumaat, JPJ mengumumkan penggantungan perkhidmatan My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan JPJ berkuat kuasa serta-merta.
Penggantungan itu melibatkan perkhidmatan yang sebelum ini disediakan menerusi kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MYEG.
Sementara itu Loke berkata, kementerian dan JPJ akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan jumlah hasil kerajaan yang masih tertunggak daripada My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.
Loke berkata kerajaan memandang serius sebarang kegagalan mengurus dan menyalurkan hasil awam dengan sewajarnya serta tidak akan bertolak ansur terhadap ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak yang diamanahkan mengendalikan dana kerajaan.
“Kementerian dan JPJ juga akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan jumlah hasil kutipan kerajaan yang masih tertunggak daripada MyEG,” katanya.
Beliau berkata kementerian dan JPJ akan terus melindungi kepentingan awam serta memastikan penggantungan perkhidmatan pembayaran melalui MYEG dan Zetrix AI tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Penggantungan itu tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan JPJ kepada orang awam. Urus niaga berkaitan akan terus tersedia menerusi saluran alternatif termasuk aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kaunter dan kiosk JPJ, serta saluran lain yang ditetapkan oleh jabatan,” katanya. - DagangNews.com






