
APABILA sebut pasal port jalan-jalan cari makan atau 'JJCM' hujung minggu, lokasi di tengah ibu kota memang selalu jadi tumpuan untuk kita santai-santai cuci mata sambil layan perut. Kalau kalian tengah cari lokasi minum petang yang meriah dan berbaloi bersama keluarga atau member-member, Checkers Café di Dorsett Kuala Lumpur nampaknya ada kejutan istimewa khas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 kali ini.
Menerusi Merdeka Hi-Tea Buffet yang dibawakan khas pada 29 dan 30 Ogos ini, pengunjung berpeluang menikmati aneka hidangan autentik tempatan yang mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia pada harga serendah RM69 bersih seorang. Bermula jam 1 tengah hari hingga 4 petang, suasana makan-makan korang juga bakal diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti cabutan bertuah, pertandingan pakaian terbaik dan aktiviti mewarna untuk si cilik.

Bukan itu sahaja, buat yang kerap luangkan masa cuti Ahad di sini, lokasi tersebut turut menyuntik kelainan baharu menerusi menu Sunday Hi-Tea Rendezvous. Pembaharuan itu dilakukan hasil gabungan sajian tempatan dan antarabangsa yang direka khas mengikut maklum balas serta selera tetamu.
Menurut Executive Chef Dorsett Kuala Lumpur, Mohd Azmi Sarginen, pembaharuan menu tersebut dibuat bagi memastikan pengunjung tetap serta tetamu baharu sentiasa mendapat pengalaman kulinari yang segar setiap kali melangkah ke sini.
“Setiap pembaharuan dibuat berdasarkan maklum balas tetamu. Sunday Hi-Tea masih mendapat permintaan tinggi dan kami mempunyai pelanggan tetap yang kembali untuk menikmati hidangan di sini,” katanya.

Antara sajian menarik yang menanti pengunjung termasuklah Sri Lankan curry, chilli crab mantou, Portuguese egg tart, cucur udang rangup, aneka kuih-muih tradisional, mini pavlova serta pelbagai pilihan salad dan pencuci mulut yang menggiurkan.
Malah, beberapa hidangan 'signature' yang menjadi kegemaran ramai turut dikekalkan, selain menu boleh disesuaikan mengikut keperluan jika ada yang mahu buat majlis khas atau perhimpunan berkumpulan.
Menariknya, lokasi ini bukan sekadar port untuk kenyangkan perut, tetapi tempat untuk mencipta memori dan bergelak tawa bersama yang tersayang.

“Kami bukan hanya mahu menawarkan makanan, sebaliknya pengalaman lengkap kepada pelanggan termasuk perkhidmatan minuman dan hiburan. Konsep kami menggabungkan makanan dan hiburan supaya Sunday Hi-Tea menjadi aktiviti hujung minggu yang boleh dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan,” tambahnya lagi.
Mampu menampung sehingga 180 tetamu dalam satu-satu masa, sesi Sunday Hi-Tea Rendezvous ini beroperasi pada waktu yang sama setiap Ahad. Jadi, apa kata hujung minggu ini kalian sekeluarga singgah dan rasai sendiri kehangatan suasana sambil cuci mata di tengah-tengah ibu kota.





