Sisa buangan Singapura: Buka tapak dapat RM15,000

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sisa buangan Singapura: Buka tapak dapat RM15,000

PONTIAN – Kegiatan pembua­ngan sisa bahan binaan di beberapa lokasi di daerah ini didakwa semakin berleluasa kerana terdapat pemilik tanah dipercayai menerima bayaran sehingga RM15,000 untuk menyediakan tapak bagi tujuan tersebut.

Selain tuan tanah, broker atau orang tengah yang terlibat dalam rundingan itu turut me­nerima upah lumayan pada kadar sama.

Sumber berkata, tawaran wang itu dipercayai menjadi antara punca utama kegiatan tersebut terus berlaku, selain pemilik tanah turut menerima manfaat kerana tidak perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk menambak tanah.

“Pemilik tanah dengan rela hati membenarkan kerana tidak perlu mengeluarkan kos untuk kerja-kerja pembersihan atau penambakan tanah te­rutama mereka yang bercadang untuk membangunkan premis seperti pusat pembelian kelapa sawit.

“Ini kerana ada pihak lain yang sanggup menawarkan tempat untuk pembuangan sisa bahan binaan, jadi makin banyak lokasi baharu muncul,” katanya kepada Kosmo!.

Difahamkan, setakat ini terdapat 20 lokasi di daerah ini yang dikesan menjadi tapak pembuangan sisa bahan binaan dari Singapura.

Sumber berkata, setiap satu kawasan yang dijadikan tapak itu dianggarkan berkeluasan 1.6 hektar dengan kenderaan membawa sisa bahan binaan dari Seberang Tambak itu dipercayai memasuki negara ini menggunakan laluan yang sah.

“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sisa binaan tersebut dipercayai diikrar sebagai bahan pertanian,” katanya.

Kosmo! pada Jumaat lalu mendedahkan kegiatan konvoi treler membawa sisa bahan binaan dipercayai dari Singapura untuk dibuang di beberapa lokasi sekitar Pontian yang didakwa berlarutan sejak dua tahun lalu.

Pergerakan dan kerja-kerja memunggah didakwa bermula pada waktu malam hingga awal pagi melibatkan beberapa kawasan termasuk Parit Sikom, Batu 26 Jeram Batu-Pengkalan Raja, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar dan Mukim Sungai Karang.

Kegiatan itu bukan sahaja menimbulkan keresahan penduduk kerana didakwa menyebabkan kerosakan pada kediaman, malah me­ngancam keselamatan pengguna khusus­nya penunggang motosikal yang terlanggar sisa di atas jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, aduan treler atau lori membawa muatan sisa bahan binaan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) khususnya kesalahan membawa muatan berlebihan.

Katanya, sekiranya muatan yang dibawa melebihi had dibenarkan atau membahayakan pengguna jalan raya, kenderaan berat tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan berkaitan.

“Bahagian Siasatan dan Pe­nguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Pontian turut menjalankan operasi, namun pemeriksaan mendapati pemandu lori mengisi muatan tidak melebihi paras ke­tinggian lori.

“Mereka licik kerana me­lakukan kerja-kerja pembua­ngan sehingga pukul 2 pagi bagi mengelak dikenakan tindakan daripada pihak berkuasa,” kata­nya ketika dihubungi.

Hadzrat Hussein berkata, pihaknya turut melakukan siasatan lanjut termasuk tinjauan ke tapak pembuangan sisa bersama agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Farid Hassan dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama agensi dan jabatan berkaitanbagi membincangkan isu tersebut hari ini.

Mesyuarat tersebut dijangka menjadi langkah permulaan penting bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan terhadap pihak berkiatan termasuk pemilik tanah dan individu yang dipercayai menjadi orang tengah dalam kegiatan tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Sisa buangan Singapura: Buka tapak dapat RM15,000 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved