
STROK mata atau istilah perubatan, Central Retinal Artery Occlusion (CRAO) adalah satu kecemasan mata yang serius sehingga boleh menyebabkan kehilangan penglihatan yang teruk secara tiba-tiba dan sering kali mengakibatkan buta kekal.
Keadaan itu berlaku akibat sekatan yang mendadak pada pembuluh darah utama mata yang membekalkan oksigen kepada saraf mata hingga menyebabkan lapisan retina menjadi pucat dan kehilangan fungsi penglihatan.
Menurut Pensyarah Perubatan, Pakar Oftalmologi dan Bedah Mata Jabatan Oftalmologi, Hospital Sultan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr.
Muhammad Aizuddin Ahmad, strok mata mempunyai persamaan dengan strok otak.
Katanya, ia berkait rapat dengan masalah kesihatan kronik seperti arteriosklerosis (saluran darah tersumbat), tekanan darah tinggi, kencing manis (diabetes) dan penyakit jantung.
“Saraf mata memerlukan keperluan oksigen yang sangat tinggi untuk memberi fungsi penglihatan terbaik.
“Bekalan oksigen yang terputus seawal beberapa minit hingga beberapa jam boleh memberi kerosakan kekal dan mengakibatkan kebutaan.
“Antara matlamat rawatan segera yang ditawarkan oleh doktor mata adalah untuk melepaskan sekatan pembuluh darah termasuklah urutan khas mata, kaedah pernafasan untuk mengembangkan pembuluh darah (carbogen inhalation) dan ubat-ubatan untuk mencairkan darah (thrombolytic agents).
“Akibat tempoh rawatan efektif (therapeutic window) yang sangat pendek, protokol rawatan standard sering kali tidak dapat memberi kesan pemulihan sepenuhnya untuk pesakit CRAO,” katanya.
Tambahnya, menyedari hakikat bahawa masa adalah sangat kritikal bagi menyelamatkan penglihatan, Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT) mula mendapat perhatian sebagai salah satu pilihan rawatan strok mata.

HBOT merupakan rawatan dengan pesakit diberikan 100 peratus oksigen pada tekanan yang lebih tinggi daripada tekanan atmosfera biasa.
“Secara teorinya, pemberian oksigen bertekanan tinggi ini dapat meningkatkan tahap resapan oksigen ke dalam tisu retina melalui plasma darah.
“Ini dapat mengekalkan kelangsungan hidup sel retina yang terjejas sementara menunggu aliran darah arteri kembali pulih dengan sendirinya.
“Kajian terhadap beberapa laporan jurnal perubatan dan meta analisis berskala besar mendapati bahawa faktor penentu kejayaan rawatan ini telah terbukti dengan jelas.
“Rawatan HBOT memberikan keputusan yang paling memberangsangkan dan bermakna sekira dimulakan pada peringkat sangat awal, khususnya dalam tempoh 12 jam pertama selepas simptom mula dikesan,” jelasnya.
Ulas Dr. Muhammad Aizuddin lagi, terdapat kajian yang lebih spesifik mendapati bahawa faedah pemulihan penglihatan adalah sangat ketara bagi mereka menerima rawatan seawal lapan jam pertama.
Walaupun beberapa kajian mendapati HBOT yang diberikan selepas 12 hingga 24 jam memberikan peningkatan penglihatan kurang signifikan, namun terdapat laporan kes menunjukkan perubahan positif terhadap penglihatan pesakit, biarpun rawatan dimulakan lewat.
Hal ini menunjukkan bahawa sel retina bertindak balas secara berbeza, bergantung kepada tahap sekatan pada pembuluh darah mata.
“Secara umumnya, pesakit tidak perlu bimbang kerana kajian menunjukkan kadar komplikasi akibat rawatan HBOT tidak berbeza secara signifikan berbanding pesakit yang tidak menerimanya.
“Kesan sampingan lazimnya jarang berlaku dan bersifat ringan seperti perasaan cemas ruang yang terhad, barotrauma (kecederaan akibat tekanan tinggi) seperti sakit telinga, kecederaan gegendang telinga, nadi menjadi perlahan serta sesak dada.
“Wujud juga risiko sangat kecil akibat keracunan oksigen pada sistem saraf pusat yang boleh menyebabkan gejala loya, pening dan sawan.
“Kesemua ini akan dinilai dengan teliti oleh doktor yang bertugas sewaktu rawatan berlaku,” katanya.
Kesimpulannya, CRAO bukan sekadar masalah mata tetapi petanda bahaya kecemasan pembuluh darah.
Biarpun HBOT menawarkan harapan baharu bagi memulihkan penglihatan, cabaran utama di hospital adalah untuk mempercepatkan proses diagnosis dan pengesahan rawatan, sebelum tempoh golden hour rawatan itu tertutup.
Orang awam pula diseru untuk segera ke jabatan kecemasan sekiranya mengalami kehilangan penglihatan sebelah mata secara mendadak dan tanpa rasa sakit.
Dalam situasi strok mata, setiap saat yang berlalu adalah penentu kepada tahap penglihatan anda pada masa hadapan.
The post Strok mata boleh akibatkan buta appeared first on Kosmo Digital.





