
SELAYANG, 24 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pertubuhan Perancang Malaysia bakal menganjurkan Seminar Bandar Pintar 2026 bagi meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perancangan dan pengurusan bandar.
Yang Dipertua MPS Shahman Jalaludin berkata seminar bertemakan AI Meets Urban Planning 2.0 dijadual berlangsung pada 15 September di Pusat Konvensyen KLGCC dengan penyertaan kira-kira 400 peserta.
“Seminar Bandar Pintar ini julung-julung yang kita MPS adakan antaranya bagi meneroka perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengubah cara bandar dirancang, dibangunkan dan diurus,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPS Bil.8/2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, seminar berkenaan antara usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperkukuh pelaksanaan inisiatif bandar pintar menerusi perkongsian kepakaran dan teknologi terkini.
Beliau berkata antara objektif seminar berkenaan adalah meneroka aplikasi praktikal AI dalam perancangan dan pengurusan bandar termasuk berkongsi amalan terbaik dan teknologi terkini daripada pelbagai pakar pelaksana.
Ia juga disasar mengetegahkan perkembangan teknologi terkini selain memberi tumpuan kepada pengalaman pelaksanaan sebenar, amalan terbaik serta mekanisme pembiayaan yang diperlukan bagi menterjemahkan idea bandar pintar kepada penyelesaian yang praktikal dan boleh dilaksanakan.
“Selain itu, membincangkan cabaran serta mekanisme pelaksanaan inisiatif pintar serta memperkukuh strategi pelbagai sektor antara PBT, kerajaan, akademik dan industri swasta.
“Ia juga turut menjadi platform kepada MPS mendapatkan pandangan dan berkongsi pengalaman bersama pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh pembangunan bandar yang lebih pintar,” katanya.
Ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor terus mempercepatkan transformasi digital dalam pentadbiran negeri menerusi penerapan AI dan pengukuhan sistem perkongsian data antara jabatan serta agensi kerajaan.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata penerapan dan pemecutan penggunaan AI akan dilaksanakan menerusi program Teraju AI dan Pusat Inkubasi AI Selangor di bawah Selangor International Innovation Centre of Excellence (SLIICE) yang dikendalikan oleh Selangor Technical Development Corporation (STDC).
Menurut Amirudin program berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk AI untuk agensi kerajaan, pensijilan profesional AI bagi tenaga kerja serta penyediaan platform inkubator bagi membangunkan ekosistem AI Selangor secara menyeluruh.





