
BATU PAHAT – Pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui dalam keadaan cedera parah pada muka dan badan dipercayai akibat dihentak menggunakan objek keras sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah di sebuah dewan sekolah kira-kira pukul 5.30 petang.
Jelasnya, susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kira-kira pukul 7 malam semalam di sekitar Pekan Yong Peng selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan parah pada bahagian muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dihentak menggunakan objek keras, namun perkara itu masih dalam siasatan polis dan menunggu pengesahan lanjut hasil bedah siasat.
Tambah beliau, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan polis. – KOSMO! ONLINE
The post Bunuh di sekolah: Irene Sofiya parah di muka, badan disyaki dihentak objek keras appeared first on Kosmo Online.






