[VIDEO] Nenek jadi ‘bidan’ sambut cucu dalam MPV

LocalFamily & Parenting
7 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Nenek jadi ‘bidan’ sambut cucu dalam MPV

KOTA BHARU – Perjalanan seorang guru al-Quran bersama keluarga dari Rantau Panjang dekat sini, untuk ke hospital bagi me­nyambut kelahiran cahaya mata bertukar detik cemas apabila isterinya bersalin anak lelaki di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika berada di Kampung Pendek di sini kelmarin.

Nuraisyah Fauzi, 28, melahirkan anak keenam kira-kira pukul 1.55 pagi yang disambut oleh ibunya, Rosminie Che Yusoff, 56, di dalam MPV jenis Toyota Estima dipandu abang, Fakhrurrozi, 32, ketika sedang dalam perjalanan ke Hospital Pakar KPJ Perdana di sini.

Suami kepada Nuraisyah, Siraj Yasman, 39, berkata, isteri memaklumkan bahawa perutnya mengalami kontraksi ketika ber­ada di rumah mereka di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh, Gual Tinggi dekat Rantau Panjang kira-kira pukul 11 malam.

Katanya, dia pada awalnya menyangka itu hanya sakit biasa dan isteri masih boleh bertahan sehingga waktu subuh berdasarkan pengalaman melahirkan lima anak sebelum ini.

“Pada pukul 1.40 pagi, saya sudah bersiap-siap dan pergi ke rumah ibu mentua yang tinggal di kawasan sama sebelum menaiki MPV milik abang ipar untuk membawa Nuraisyah ke Hospital Pakar KPJ Perdana.

“Ketika tiba di Kampung Pendek selepas 15 minit perjalanan, isteri memaklumkan bahawa kainnya basah dan kepala anak kami sudah keluar. Ibu mentua saya yang duduk di tempat duduk penumpang depan terus berpusing dan menjadi bidan menyambut kelahiran anak keenam kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Video kejadian bersalin dalam MPV itu telah menjadi tular di media sosial dan telah ditonton lebih dua juta orang.

Siraj yang merupakan guru al-Quran di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh memberitahu, dia yang berada dalam keadaan pa­nik hanya mampu berselawat dan berzikir melihat ibu mentuanya menyambut kelahiran anaknya itu di dalam MPV.

Katanya, kakak iparnya, Siti Hajar Tajuddin, 27, yang berada di tempat duduk penumpang belakang MPV sempat merakam detik ibu mentua menyambut anaknya.

“Selepas bersalin, saya terus memangku anak lelaki dan melaungkan azan ke telinganya. Saya masih ingat, abang ipar memandu MPV dalam keadaan sangat laju untuk tiba di hospital. Mujur tiada apa-apa yang berlaku kepada kami.

“Apabila tiba di Hospital Pakar KPJ Perdana, jururawat dan staf hospital tersebut sudah menunggu kami di lobi kerana saya sudah menghubungi mereka selepas isteri bersalin di dalam MPV.

“Ibu mentua juga tiada pengalaman menjadi bidan, tetapi dia ada memaklumkan pernah melihat video kaedah bersalin di TikTok sebelum ini. Daripada video itu, dia cuba membantu isteri saya ketika melahirkan anak kami dalam keadaan darurat,” ujarnya.

Siraj berkata, keadaan isteri dan anaknya yang masih belum diberikan nama itu berada dalam keadaan sihat ketika tiba di hospital.

@sirajyasman87Tak sempat sampai hospital dah terkeluar… Masya Allah.. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akbar.. Takde yang dapat digambar, semua berlaku dengan sangat pantas dan tak pernah terlintas di fikiran kami.. Terlalu cepat dan terlalu mudah.. dan alhamdulillah semua selamat.. Takde ucapan yang dapat digambarkan… “Maha Baiknya Allah”.. Rupanya kes macam ni kalau ada pon sekali dalam setahun bak kata doktor 5/9/2026 (Sabtu) 1.55 pagi♬ original sound – DNP

The post [VIDEO] Nenek jadi ‘bidan’ sambut cucu dalam MPV appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved