haziq08/01/2026 - 16:43 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – Sena Healthcare Services melancarkan Sena Specialist Hospital Segamat, sekali gus menandakan pentauliahan hospital pertamanya dan langkah penting dalam memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar swasta di bandar-bandar sekunder di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Sena Healthcare berkata hospital tersebut merupakan hospital multidisiplin swasta pertama dan satu-satunya di daerah Segamat, dengan kapasiti 90 katil, termasuk unit ICU dan HDU, bagi menangani jurang perkhidmatan rawatan pakar yang telah lama wujud di kawasan itu.
Menurut SENA Healthcare, kemudahan tersebut membolehkan penduduk Segamat dan kawasan sekitarnya mendapatkan rawatan komprehensif lebih dekat dengan kediaman, di samping mengurangkan keperluan untuk perjalanan jauh ke pusat bandar utama bagi kes-kes kompleks.
Majlis perasmian telah disempurnakan bersama oleh Wakil Menteri Besar Johor merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kesihatan & Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, serta Datuk Seri Dr Zaliha binti Mustafa, Ahli Parlimen Sekijang.
Turut hadir ialah Pemegang Amanah Pengurusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Datuk Avinderjit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Mohd Anizam Jamian; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat, Mohd Helmi Bin Datuk Sha'ri @ Shangari; Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan SENA Healthcare Services, Tan Sri Dr Tan Boon Hock; Pengarah SENA Healthcare Services Puan Sri Lim Sho Hoo; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SENA Healthcare Services, Michelle Tan; serta Pemangku Ketua Pegawai Operasi SENA Specialist Hospital Segamat, Dr Mohd Razif.
Dr Zaliha berkata, pentauliahan hospital tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh landskap penjagaan kesihatan Johor dan menyokong agenda kesihatan nasional.
“Penubuhan kemudahan ini meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan serantau dengan memperluaskan akses kepada perkhidmatan pakar di luar pusat bandar utama, sekali gus menyokong diagnosis dan rawatan yang lebih tepat pada masanya,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan inklusif, khususnya untuk komuniti di daerah kecil seperti Segamat.
Menurut Sena Healthcare, Sena Specialist Hospital Segamat merupakan hospital pertama di bawah pelan hala tuju jangka panjang kumpulan untuk membangunkan 12 hospital multidisiplin melalui pelbagai model perniagaan, dengan fokus kepada bandar sekunder dan komuniti kurang mendapat liputan.
Dr Tan Boon Hock berkata hospital itu menjadi asas kepada visi kumpulan untuk membawa penjagaan kesihatan pakar berkualiti lebih dekat kepada komuniti.
“Terletak secara strategik untuk berkhidmat kepada Segamat dan kawasan sekitar seperti Gemas, Jementah, Labis, Chaah, Bekok, Tangkak dan Muadzam Shah, Sena Segamat merupakan satu-satunya hospital penjagaan sekunder swasta dalam radius 100 kilometer, memastikan akses kepada rawatan pakar tanpa mengira lokasi,” katanya.
Menurut beliau, hospital tersebut membantu memastikan akses yang lebih saksama kepada perkhidmatan pakar bagi komuniti yang sebelum ini kurang mendapat liputan.
Sena Healthcare berkata hospital berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar di bawah satu bumbung, disokong pasukan multidisiplin terlatih serta infrastruktur perubatan moden termasuk kemudahan diagnostik lanjutan, dewan bedah dan bilik skop.
Antara perkhidmatan utama yang ditawarkan ialah pembedahan invasif minimum, pembedahan penggantian lutut menyeluruh, perkhidmatan pembedahan mata lanjutan vitreoretinal, perkhidmatan wanita dan kanak-kanak, serta perkhidmatan reumatologi yang merupakan satu-satunya dalam radius 80 kilometer.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sena Healthcare Services, Michelle Tan berkata, kumpulan bukan sahaja menumpukan kepada penyampaian rawatan berkualiti, malah menyokong inisiatif kesihatan awam dan pembangunan komuniti.
“Dengan membawa rawatan pakar lebih dekat kepada penduduk Segamat, kami dapat meningkatkan pengesanan awal dan hasil rawatan, khususnya dalam bidang seperti onkologi dan kesihatan wanita,” katanya.
Menurut beliau, hospital itu juga membantu mengurangkan tekanan ke atas hospital awam dengan menyediakan pilihan penjagaan kesihatan swasta.
Setakat ini, Sena Specialist Hospital Segamat telah menyumbang 1,637 saringan kesihatan percuma, 129 kes Protect Health, inisiatif kesihatan mata termasuk 200 imbasan kamera fundus berasaskan AI dan penajaan 34 cermin mata, serta RM200,000 bantuan kewangan yang memberi manfaat kepada tujuh pesakit.
Menurut Sena Healthcare, dalam tempoh sedekad akan datang, kumpulan merancang membina 12 hospital dan 2 pusat penjagaan ambulatori di seluruh negara.
Milestone seterusnya pada 2026 ialah pentauliahan Sena Specialist Hospital Bentong dan Sena Specialist Hospital Kempas. - DagangNews.com


