
KUALA PILAH: Memperkukuh hubungan erat antara kerajaan Negeri Sembilan dengan Kerajaan Persekutuan menjadi tekad utama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan membawa manfaat kepada rakyat.
Katanya, hubungan harmoni antara institusi diraja, kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, penjawat awam, sektor swasta, pemimpin masyarakat dan seluruh lapisan rakyat perlu terus diperkasakan demi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, pentadbiran baharu kerajaan negeri akan berteraskan semangat muafakat, kebersamaan dan keterbukaan dalam menerima pandangan serta teguran membina daripada semua pihak.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan jangka panjang negeri dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Patik akan memimpin pentadbiran kerajaan negeri dengan mengutamakan prinsip amanah, integriti, kecekapan dan ketelusan.
“Patik akan memastikan jentera pentadbiran kerajaan negeri terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan rasa tanggungjawab.
“Amanah dipikul tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa bimbingan, nasihat, doa dan restu daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Taat Setia pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini, semalam. Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin.
Turut hadir, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab. Hamid; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta wakil rakyat Negeri Sembilan.
Pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kesembilan dibuat selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 dengan memenangi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berusia 67 tahun itu dipilih daripada tiga nama wakil rakyat BN yang dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.
Pada PRN Negeri Sembilan, Ismail memenangi kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,323 undi selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Zuhaimi Md. Yusof dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Aidil Abdullah.
Ismail berkata, kepercayaan dan mandat diberikan rakyat kepada BN dan PN adalah amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, kepercayaan itu bukan sekadar penghormatan, sebaliknya tuntutan kepada kerajaan baharu untuk membuktikan kemampuan bekerja bersungguh-sungguh demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, pelantikan sebagai Menteri Besar merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan, kejujuran, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab tinggi.
“Amanah bukan suatu kemuliaan untuk dibanggakan, sebaliknya tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi agama, bangsa, negeri dan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Patik bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi kerajaan yang mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan,” katanya.
Ismail turut menzahirkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta institusi Raja Berperlembagaan.
Katanya, institusi itu menjadi payung kedaulatan, lambang penyatuan rakyat serta tonggak kestabilan dan kesejahteraan negeri.
“Patik akan sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, memelihara kemuliaan institusi diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Setiap amanah kepimpinan akan dipersoalkan dan setiap tanggungjawab hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Jumaat ini selepas perbincangan bersama pimpinan BN dan PN.
Beliau berkata, pelantikan Exco akan mengambil kira wakil kedua-dua gabungan termasuk UMNO dan MCA serta jumlah anggota MMK yang bersesuaian.
“Kerajaan ini ditubuhkan secara bersama dan pastinya kita akan mengambil kira semua pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah supaya pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ismail terus mengekalkan kecemerlangan selain memperbaiki kelemahan pentadbiran penggal lalu.
Baginda turut mengingatkan semua ADUN supaya melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab serta mengutamakan kebajikan rakyat mengatasi kepentingan politik dan peribadi.
Titah baginda, setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab besar membawa suara, aspirasi, keperluan dan permasalahan rakyat ke DUN.
“Setiap tindakan dan pertimbangan hendaklah sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
“Negeri ini memerlukan barisan pemimpin yang memiliki integriti tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai murni,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan boleh menjejaskan keadilan serta keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan.
Ismail bukan asing dalam politik Negeri Sembilan dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran serta perkhidmatan awam negeri.
Dilahirkan pada 15 April 1959 di Kampung Tebing Tinggi, Juasseh, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pusat Juasseh sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah King George V (KGV), Seremban. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1985.
Beliau mula dipilih sebagai ADUN Senaling pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-10 pada 1999 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU11, PRU12 dan PRU13 sebelum memenangi DUN Juasseh pada PRU14. Pada PRN 2023, beliau kembali mewakili DUN Senaling.
Kini, beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO. – UTUSAN
The post Ikrar Ismail Lasim appeared first on Utusan Malaysia.






