Sengaja bakar belukar, Kelantan ke-2 tertinggi

LocalEnvironment
9 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sengaja bakar belukar, Kelantan ke-2 tertinggi

Aktiviti kebakaran terbuka mencatatkan kes yang paling banyak berlaku di Kelantan sepanjang empat tahun bermula 2023 hingga tahun ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan sebanyak 2,904 kejadian kebakaran dengan 2,812 kes atau kira-kira 75 peratus kes melibatkan kebakaran terbuka sejak Januari hingga Jun lalu.

Daripada jumlah keseluruhan kebakaran terbuka di Kelantan, sebanyak 1,751 kes membabitkan kebakaran belukar atau lalang, hutan (272 kes), sampah (117 kes) dan kebun atau ladang (42 kes).

Statistik turut menunjukkan kejadian kebakaran terbuka tertinggi yang dilaporkan pada Mac dan April lalu di Kelantan berlaku di kawasan lapang selain lokasi pertanian.

Wartawan Kosmo! Ahad, Muhammad Ayman Ghaffa menemu bual Pe­ngarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan bagi mengupas mengenai kes-kes kebakaran terbuka dan punca kebakaran yang berlaku di negeri itu sejak kebe­lakangan ini.

Keseluruhan jumlah kes yang diterima JBPM Kelantan, apakah jenis kebakaran yang kerap dilaporkan di Kelantan sepanjang tahun ini?

Farhan Sufyan: Kes di Kelantan didominasi oleh kebakaran terbuka iaitu sebanyak 75 peratus, manakala bakinya 35 peratus lagi melibatkan kebakaran struktur dan kenderaan.

Kelantan mencatatkan kebakaran terbuka kedua ter­tinggi di negara ini selepas Kedah yang merekodkan paling banyak kes tersebut.

Kebakaran terbuka paling banyak berlaku semasa musim kemarau Ramadan lalu iaitu pada Mac dan April. JBPM Kelantan berkampung di kawasan kebakaran terbuka di negeri ini terutama di daerah Bachok sepanjang dua bulan tersebut kerana banyak kes dilaporkan melibatkan kebakaran belukar, hutan, tanah gambut dan tanaman.

Apa punca yang menyebabkan kes kebakaran terbuka di Kelantan melonjak tahun ini dan mengapa kawasan belukar mudah terdedah kepada kejadian tersebut?

Siasatan mendapati, kebanyakan kebakaran terbuka berlaku disebabkan kawasan itu sengaja dibakar dengan keba­nyakannya petani di­percayai melakukan perbuatan tersebut.

Mereka dikatakan ­me­ng­ambil kesempatan musim kemarau untuk membuka atau membersihkan tanah bagi menjalankan aktiviti pertanian dengan melakuman pembakaran terbuka. Ini perkara realiti, bukannya rekaan.

Ketika kerja-kerja pembersihan tanah dijalankan dan kebakaran merebak, baru mereka atau jiran terdekat menghubungi JBPM untuk pe­madaman api.
Statistik turut menunjukkan kebakaran belukar dan lalang paling banyak berlaku kerana mereka mahu membersihkan kawasan tersebut sebelum memulakan aktiviti tanaman.

Adakah kebakaran terbuka boleh membahayakan nyawa penduduk setempat dan apa impak kejadian itu sekiranya terus dilakukan?

Kebakaran terbuka boleh me­rebak ke kawasan berstruktur atau aset yang berada berhampiran kawasan tersebut.

Setakat ini, kebakaran terbuka tidak melibatkan sebarang struktur, namun kejadian itu menyebabkan kerugian kepada petani dari aspek penanaman.

Kejadian terburuk melibatkan kebakaran terbuka di Kelantan yang berlaku di kawasan ta­nah gambut seluas lebih 12 hektar di Bachok baru-baru ini.

Siasatan mendapati, kebakaran tersebut sengaja dilakukan oleh petani untuk membuka ­tanah sebelum melakukan aktiviti penanaman buah-buahan atau tanaman lain.

Apabila JBPM Kelantan menjalankan operasi pemadaman di kawasan itu, mereka tidak mengaku melakukan perbuatan tersebut. Dari segi keadaan yang kita lihat di lokasi kejadian, memang anggota mendapati kawasan itu sengaja dibakar.

Apakah tanda-tanda yang boleh diklasifikasi kawasan belukar, lalang atau tanah gambut itu sengaja dibakar?

Pemeriksaan di lokasi kebakaran terbuka kebiasaannya mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan bertompok seperti tertumpu di satu lokasi sebelum api merebak ke kawasan berhampiran.

Kebakaran terbuka yang se­ngaja dilakukan ini sudah berlaku sejak berzaman dan apabila me­rebak dan api luar biasa, baru petani akan menghubungi JBPM.

Itu antara isu dan masalah sering dihadapi oleh JBPM Kelantan setiap kali musim panas. Kita paling bimbang sekira melibatkan belukar atau tanah gambut kerana api di kawasan tersebut sangat mudah untuk merebak.

Apa tindakan JBPM Kelantan sekiranya menerima laporan mengenai petani yang sengaja melakukan kebakaran terbuka untuk membuka ta­nah bagi menjalankan aktiviti pertanian?

Pihak JBPM akan bertindak pantas untuk tiba di lokasi melibatkan apa sahaja jenis kebakaran dalam tempoh sembilan minit 30 saat bagi kawasan yang berada dalam radius 10 kilo­meter dari balai bomba terdekat.

Kita akan memadam kebakaran dengan segera bagi mengelak api merebak di kawasan berhampiran.

Bagi aspek punca kebakaran terbuka yang disengajakan, JBPM akan membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Buat masa ini, sebarang pe­nguatkuasaan kebakaran terbuka terutama melibatkan ta­nah gambut diserahkan kepada dua pihak berkenaan.

Meskipun kebakaran terbuka meningkat tahun ini, kejadian tersebut yang berlaku di kawa­san lapang atau tanah gambut di Kelantan masih terkawal.

Kawasan tanah gambut di negeri ini tidak terlalu luas jika diban­dingkan Pahang, Johor dan ­negeri lain.

Setakat ini, JBPM Kelantan tidak mempunyai rekod mengenai kerugian melibatkan kebakaran terbuka kerana melibatkan kawasan hutan yang tidak dapat dianggarkan jumlah kerugian.

Selain kebakaran terbuka, kes kebakaran struktur juga kerap berlaku di Kelantan sepanjang tahun ini. Apa punca yang menyebabkan kebakaran struktur?

Sepanjang tenpoh Januari hingga Jun lalu, JBPM Kelantan menerima sebanyak 207 panggilan kebakaran struktur dengan 57 peratus daripadanya melibatkan kediaman dan itu yang merisaukan kita.

Daripada jumlah keseluruhan kediaman, 75 peratus punca kebakaran melibatkan litar pintas.

Faktor itu tercetus berikutan pendawaian lama, peralatan elektrik, pendawaian yang tidak berfungsi dan pemasangan komponen daripada pihak yang tidak berkompeten.

Siasatan mendapati, kediaman yang mempunyai pendawaian melebihi usia 20 tahun kebiasaannya terdedah dengan kejadian litar pintas.

Sebenarnya, Suruhanjaya Tenaga menyarankan pemilik kediaman membuat pemeriksaan kediaman setiap lima tahun sekali. Itu hanya saranan dan bukannya kewajipan.

Apabila sistem pendawaian sudah lama, ia boleh menyebabkan berlaku percikan api sehingga berlaku kebakaran di kawasan kediaman.

Berapa nilai harta benda yang dapat diselamatkan JBPM Kelantan ketika menja­lankan operasi memadam kebakaran tahun ini?

Sehingga 30 Jun lalu, kita berjaya menyelamatkan lebih RM402 juta nilai pelbagai harta benda daripada terbakar ketika kebakaran. Selain itu, jumlah kerugian yang dialami mang­sa kebakaran mencatat sebanyak RM30.27 juta.

Secara purata, kebakaran ba­nyak berlaku lebih-lebih ketika musim El-Nino.

Tahap kerosakan yang berlaku bergantung kepada lokasi kebakaran, tempoh api merebak dan kemusnahan yang terjadi.

Dokumen penting seperti geran tanah, sijil kelahiran, sijil akademik dan dokumen pengenalan yang disimpan di dalam rumah kebiasaannya akan hangus sekiranya api merebak dengan
cepat.

Selain itu, barangan kemas, wang tunai dan koleksi berharga yang terdedah kepada haba me­lampau juga akan terbakar apabila tidak sempat diselamatkan oleh pemilik kediaman.

Sejauh mana seriusnya kes-kes melibatkan kebakaran struktur kediaman yang berlaku di Kelantan?

Sebanyak 57 peratus panggilan kebakaran yang direkodkan oleh JBPM Kelantan terdiri daripada kebakaran kediaman, namun tahap kemerebakan kes tersebut rendah.

Siasatan mendapati, struktur binaan bangunan atau rumah di Kelantan kebiasaannya mempunyai jarak yang jauh antara satu sama lain, namun tidak dinafikan bahawa ada kes melibatkan kediaman berdekatan atau rapat seperti di Gua Musang selain Gok Kapor dan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu baru-baru ini.

Secara umumnya, kemerebakan kebakaran di Kelantan adalah kurang kerana binaan antara rumah adalah jauh.

Jarak selamat bagi sebuah rumah dengan kediaman lain yang ditetapkan oleh JBPM adalah selang lapan meter antara satu sama lain.

Apa kesimpulan atau hipotesis awal pihak JBPM Kelantan mengenai kes-kes kebakaran yang berlaku setakat ini?

Secara keseluruhannya, kes kebakaran di negeri Kelantan me­ningkat bermula Januari hingga Jun lalu. Berdasarkan pengalaman, panggilan kecemasan kebakaran yang tinggi pada tahun tersebut merupakan satu petunjuk kepada banjir besar pada musim tengkujuh.

Andaian itu boleh dikaitkan pada 2014 dan 2024 kerana ke­dua-dua tahun tersebut menca­tatkan kejadian kebakaran terbuka yang tinggi sebelum berlaku bencana alam bah besar pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, JBPM Kelantan mendapat maklumat daripada Jabatan Meteorologi bahawa kita berada dalam fasa El Nino iaitu musim kering atau hujan yang berkurangan sehingga awal tahun depan.

Berdasarkan laporan itu, kebarangkalian untuk berlakunya banjir besar pada tahun ini adalah rendah.
Justeru, semua pihak terma­suk JBPM Kelantan sentiasa bersiap siaga dengan segala perubahan cuaca untuk menjalankan operasi tidak kira ketika musim panas atau hujan.

The post Sengaja bakar belukar, Kelantan ke-2 tertinggi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved