Sengaja ingkar perintah nafkah, bekas suami boleh berdepan penjara! – Marhamah

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 9:32 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas suami yang sengaja mengabaikan perintah pembayaran nafkah boleh berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk potongan gaji, penyitaan dan penjualan harta serta pengkomitan ke penjara, tertakluk kepada proses kehakiman.

Image from: Sengaja ingkar perintah nafkah, bekas suami boleh berdepan penjara! – Marhamah

Foto: Astro Awani

Memetik laporan Buletin TV3, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kegagalan membayar nafkah seperti diperintahkan Mahkamah Syariah tidak boleh dianggap remeh kerana membabitkan keingkaran terhadap perintah mahkamah.

“Bergantung kepada keadaan dan fakta sesuatu kes, mahkamah mempunyai beberapa mekanisme penguatkuasaan, antaranya saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan harta, prosiding Hiwalah serta perintah pengkomitan ke penjara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, tindakan terhadap wang atau harta penghutang penghakiman boleh dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Ini termasuk perintah tahanan pendapatan atau potongan gaji melalui majikan bagi melaksanakan pembayaran nafkah.

Melalui mekanisme berkenaan, penerima nafkah mempunyai saluran perundangan untuk mendapatkan bayaran yang diperintahkan mahkamah tanpa hanya mengharapkan bekas suami membayarnya secara sukarela.

Bagaimanapun, Marhamah menjelaskan bahawa pemenjaraan bukan tindakan automatik yang dilaksanakan oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Sebaliknya, tindakan itu memerlukan proses kehakiman dan perintah mahkamah selepas fakta kes serta tahap ketidakpatuhan pihak terbabit dipertimbangkan.

Foto: Harian Metro

Dalam usaha memperkemas penguatkuasaan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sedang menyediakan cadangan pindaan terhadap Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.

Cadangan tersebut turut menumpukan penambahbaikan peruntukan dan prosedur bagi menangani pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah pembayaran nafkah.

Pada masa sama, JKSM sedang meneliti usaha menambah baik mekanisme pendahuluan nafkah serta bantuan kewangan kepada penerima yang layak.

“JKSM sedang meneliti penambahbaikan mekanisme pendahuluan nafkah dan bantuan nafkah yang berbentuk bantuan kewangan yang tidak perlu dibayar semula oleh penerima yang layak, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan.
“Namun, bantuan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab pihak yang berwajib ataupun pihak yang diwajibkan membayar nafkah,” tambahnya lagi.

Sumber: Buletin TV3

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved