SP Setia lantik Datuk Zaini Yusoff sebagai Presiden dan CEO baharu berkuatkuasa 1 Oktober 2025

15/08/2025 - 14:22
Datuk Zaini Yusoff Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Ogos – SP Setia Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuatkuasa 1 Oktober 2025.
Beliau akan menggantikan Datuk Choong Kai Wai yang bersara pada 30 September 2025.
SP Setia dalam satu kenyataan memaklumkan, Zaini telah menyertai syarikat itu pada 2017 daripada Kumpulan I&P Sdn Bhd dan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi sejak 2023.
“Beliau mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam bidang kejuruteraan dan kepimpinan korporat.
“Kepimpinan strategiknya sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek-projek berskala besar SP Setia.
“Beliau juga dipilih semula sebagai Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Selangor bagi penggal 2024–2026 dan kini menjawat Timbalan Presiden REHDA Malaysia, peranan yang membolehkan beliau terus mempengaruhi dasar industri dan pembangunan mampan,” kata SP Setia.
Sementara itu, Pengerusi SP Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, Lembaga Pengarah yakin Zaini akan memberikan kepimpinan strategik yang diperlukan untuk memacu syarikat dan memperkukuhkan kedudukan SP Setia sebagai pemaju hartanah terkemuka dan progresif.
“Syarikat sentiasa memberi komitmen berterusan dalam memupuk bakat dalaman serta profesional berkaliber tinggi untuk menyokong kepimpinan dan pertumbuhan masa depan.
“SP Setia juga merakamkan penghargaan atas sumbangan Datuk Choong Kai Wai yang telah memajukan syarikat menjadi sebuah organisasi efisien, berdaya tahan,” katanya.
Kai Wai yang kini berusia 65 tahun, akan bersara selepas lebih 15 tahun berkhidmat di SP Setia, termasuk sebagai Presiden dan CEO sejak 2021. - DagangNews.com
standard


