Sennheiser Momentum 5 Wireless Diperkenalkan Dengan Bateri 57 Jam

TechnologyDigital
26 May 2026 • 2:59 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Setelah sekian lama, jenama audio terkemuka dari negara Jerman, Sennheiser telah memperkenalkan model fon kepala nirwayar terbaru mereka, iaitu Sennheiser Momentum 5 Wireless yang memperlihatkan ciri-ciri baru dan sokongan untuk lebih banyak kualiti audio yang kini boleh dimainkan.

Image from: Sennheiser Momentum 5 Wireless Diperkenalkan Dengan Bateri 57 Jam

Sennheiser Momentum 5 Wireless dilihat mengekalkan rekaan model fon kepala Momentum 4 Wireless sebelum ini, dan juga penggunaan pemandu audio transduser 42mm yang diperlihatkan pada model sebelum ini dan juga fon kepala Sennheiser HD600 yang dilancarkan pada tahun 1997.

Perbezaan yang lebih ketara adalah pada sokongan jenis audio pada fon kepala Momentum 5 Wireless ini. Menurut Senheisser, fon kepala ini hadir dengan penarafan Hi-Res Audio dan Snapdragon Sound, berserta sokongan untuk codec audio aptX Lossless yang membolehkan pengguna untuk memainkan audio pada kualiti nirhilang (lossless) tidak kira sumber audio.

Image from: Sennheiser Momentum 5 Wireless Diperkenalkan Dengan Bateri 57 Jam

Aplikasi Smart Control Plus kini juga hadir dengan fungsi EQ lapan jalur dan sejumlah pra-tetapan kualiti audio yang juga boleh diubahsuai untuk mendapatkan kualiti audio yang sesuai dengan citarasa pengguna. Fon kepala ini juga hadir dengan lapan mikrofon terbina, empat di setiap bahagian kiri dan kanan bukan sahaja untuk memperbaiki mutu panggilan suara dengan fon kepala ini, tetapi juga untuk memperbaiki mutu pembatalan bunyi hingar aktif.

Image from: Sennheiser Momentum 5 Wireless Diperkenalkan Dengan Bateri 57 Jam

Apabila fon kepala ini dilancarkan kelak, Sennheiser turut akan hadir dengan kemaskini hari pertama yang akan memperkenalkan ciri Dolby Atmos yang akan bolehkan fon kepala untuk menjejak kedudukan kepala dan telinga apabila menonton kandungan yang menyokong teknologi tersebut. Dalam pada itu, fon kepala ini juga menyokong teknologi audio Bluetooth 5.4 apabila ia dilancarkan, dan akan dinaiktarafkan kepada Bluetooth 6.0 dalam satu kemaskini perisian di masa akan datang.

Image from: Sennheiser Momentum 5 Wireless Diperkenalkan Dengan Bateri 57 Jam

Fon kepala ini juga hadir dengan bateri 700mAH terbina yang memberikan pengguna jangka hayat pengunaan selama 57 jam secara berterusan, manakala sistem pengecasan pantas terbina akan memberi pengguna masa penggunaan tiga jam dengan lima minit pengecasan.

Pelancaran global Sennheiser Momentum 5 Wireless akan tiba pada 16 Jun 2026 dan akan dijual pada harga $600 (~RM2400). Fon kepala ini sudahpun mula dipromosikan di laman web Sennheiser Malaysia, tetapi tarikh pelancarannya hanya akan diumumkan kelak.

[sumber]Sennheiser Malaysia[/sumber]