Sejak fon telinga nirwayar (TWS) mula membanjiri pasaran, satu hakikat yang tidak boleh dielakkan ialah salah satu daripada putik audio akan mati terlebih dahulu. Sesetengah pengeluar seperti Apple dan Samsung menawarkan program gantian 1:1 selagi fon telinga mempunyai waranti. Sebab utama isu ini berlaku ialah bateri yang sudah luput. Bateri sukar digantikan maka pengeluar memberikan pengguna putik audio baharu.

Hari ini Sennheiser Momentum True Wireless 5 telah dilancarkan sebagai TWS pertama dengan bateri putik telinga dan pod pengecas yang boleh digantikan dengan mudah. Kedua-dua komponen mempunyai skru yang membolehkan bateri diakses apabila diperlukan. Ini jauh berbeza dengan rekaan menggunakan gambar yang membuatkan proses gantian mustahil. Ciri ini diberikan Sennheiser bagi memenuhi keperluan EU yang mewajibkan bateri peranti elektronik boleh digantikan sendiri oleh pemilik.
Selain bateri mudah diganti, Momentum True Wireless 5 hadir dengan pemandu audio 7mm TrueResponse. Terdapat sokongan aptX Lossless dan Dolby Atmos bersama penjejakan kepala. Enam mikrofon dan 2 accelerometer disertakan untuk menyokong ANC serta memberikan kualiti audio perbualan yang baik.

Hayat bateri adalah sehingga 12 jam tanpa ANC dan 40 jam dengan bantuan pod pengecas. Setiap putik telinga melepasi piawaian percikan air IP54 membolehkan ia kalis peluh semasa bersenam. Tambatan adalah menerusi Bluetooth 6.0 dengan sokongan sistem Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair.
Sennheiser Momentum True Wireless 5 dijual pada harga $300 (~RM1213) sepasang dalam pilihan warna Graphite, Cream, Copper, Denim, dan. Lavender.





