‘Sentiasa bersedia, ada ancaman tembak, jangan tunggu’ – Ketua Polis KL

12 Nov 2026 • 11:11 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengingatkan anggota polis supaya sentiasa bersedia menghadapi ancaman keselamatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengingatkan semua anggota polis yang bertugas di barisan hadapan supaya sentiasa bersiap siaga dan bertindak pantas apabila berdepan sebarang ancaman keselamatan.

Beliau menegaskan, keselamatan anggota perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan serius ketika menjalankan tugas.

“Saya tidak mahu kejadian seperti mana yang berlaku di Gombak, kerana terhadap saya punya anggota di bahagian hadapan.

“Jadi, make sure, seperti mana yang saya cakap, mesti ready, mesti tahu throw, mesti tahu engage.

“Sekiranya ada apa-apa halangan, tembak. Ada keraguan, tembak. Ada rasa kerisauan, ada ancaman, tembak. Jangan tunggu,” katanya.

Peringatan itu dipercayai dikaitkan dengan kejadian serangan bersenjata tajam terhadap seorang anggota polis di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Kejadian Desa Amanpuri

Dalam kejadian pada Rabu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah selepas ditetak lelaki dipercayai warga asing menggunakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) hadir ke lokasi selepas menerima laporan mengenai seorang lelaki yang dipercayai mengamuk.

Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba menyerang anggota yang berada di hadapan pintu kediaman menggunakan dua bilah parang sebelum melarikan diri.

Suspek kemudian berjaya dikesan berhampiran sebuah taman permainan, namun sekali lagi bertindak menyerang polis menggunakan parang sehingga memaksa anggota melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri.

Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala anggota polis yang cedera dilaporkan stabil dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

The post ‘Sentiasa bersedia, ada ancaman tembak, jangan tunggu’ – Ketua Polis KL appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved