Toyo Ventures kembali catat untung bersih bagi FY26 tetapi hasil susut 11% kepada RM76 juta

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Toyo Ventures kembali catat untung bersih bagi FY26 tetapi hasil susut 11% kepada RM76 juta Image from: Toyo Ventures kembali catat untung bersih bagi FY26 tetapi hasil susut 11% kepada RM76 juta amree04/08/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 OgosToyo Ventures Holdings Berhad mencatatkan penyusutan hasil secara tahunan (YoY) sebanyak 11% kepada RM76.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).

 

Bagaimanapun kumpulan berjaya kembali mencatatkan keuntungan bersih RM3.18 juta berbanding kerugian bersih yang mencecah RM456.1 juta dicatatkan pada tempoh kewangan 18 bulan sebelumnya.

 

Pemulihan ketara ini didorong terutama oleh langkah pengurangan kos secara agresif dalam segmen perniagaan dakwat serta keuntungan RM3.2 juta daripada pelupusan aset yang dipegang untuk jualan.

 

"Perkembangan itu mengimbangi kesan normalisasi perbelanjaan modal (capex) oleh pelanggan utama dan gangguan jadual penghantaran sepanjang suku akhir," maklum Toyo Ventures kepada Bursa Malaysia.

 

Keuntungan bersih pada kali ini ujarnya, merupakan perubahan mendadak selepas kerugian besar yang pernah dicatatkan tahun lalu berpunca daripada impak penamatan projek loji janakuasa di Vietnam.

 

Pendapatan namun menurun mencerminkan permintaan pelanggan kembali normal selepas kitaran tempahan tinggi pada tahun sebelumnya, selain faktor geopolitik yang menjejaskan laluan perkapalan global.

 

Toyo Ventures_DagangNews2026

 

Dari segi prestasi segmen kata Toyo Ventures, perniagaan dakwat mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM6.2 juta, dibantu perbelanjaan pentadbiran dan jualan yang lebih rendah.

 

"Sementara itu, segmen pemesinan luah elektrik (EDM) pula mencatatkan PBT sebanyak RM0.3 juta, terkesan oleh isu persaingan harga pasaran dan kos pengangkutan yang lebih tinggi," tambahnya lagi.

 

Kumpulan sudah memulakan prosiding timbang tara terhadap Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam (MOIT) bagi menuntut hak dan pampasan berikutan penamatan kontrak projek loji janakuasa.

 

Berdasarkan perkembangan semasa, Lembaga Pengarah Toyo Ventures tidak mengesyorkan bayaran dividen bagi mengekalkan kedudukan tunai dan menyokong operasi dalam situasi ekonomi tidak menentu.

 

Pengerusinya, Ir Yusoff Daud berkata, meskipun berdepan dengan isu kenaikan harga bahan mentah dan ketidaktentuan global, perniagaan teras kumpulan berkenaan tetap berdaya tahan setakat ini.

 

"Kami menyatakan keyakinan bahawa kumpulan berada di kedudukan yang baik untuk terus membina nilai jangka panjang melalui kecemerlangan operasi dan kecekapan kos," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved