amree05/08/2026 - 14:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Frontken Corporation Berhad mencatatkan peningkatan 44% keuntungan bersih bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), yang mencecah kepada RM52.46 juta.
Peningkatan ketara ini ujarnya, didorong sumbangan lebih tinggi daripada anak syarikat di Malaysia dan Taiwan yang turut menjadi faktor utama kepada asas pertumbuhan pendapatan kumpulan tersebut.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, hasil kumpulan meningkat kira-kira 19% kepada RM186.9 juta berbanding sebanyak RM156.4 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun kewangan sebelumnya.
"Keuntungan selepas cukai (PAT) mencatatkan RM52.5 juta, bertambah kira-kira RM15.9 juta daripada tempoh sama tahun lalu," jelas Frontken yang turut menilai prestasi keseluruhan tiga bulan itu.
Sehubungan itu, berdasarkan perkembangan positif itu, Lembaga Pengarah mengumumkan agihan dividen tunggal peringkat pertama sebanyak 2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Dalam pada itu, sumbangan hasil daripada anak syarikat di Malaysia melonjak 106% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, berikutan sumbangan jualan yang lebih tinggi dalam aktiviti tertentu.

Ujar Frontken, sebahagian besar berkaitan bekalan bagi sektor minyak dan gas (O&G), manakala bagi anak syarikat di Taiwan, hasil meningkat sebanyak 7% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan di wilayah tersebut dipacu menerusi permintaan yang lebih tinggi serta tempahan kukuh daripada pelbagai pelanggan utama dalam ruang separa konduktor dikeluarkan subsidiari," tambahnya.
Bagaimanapun jelas kumpulan berkenaan, jika diukur berdasarkan mata wang dolar baharu Taiwan, pertumbuhan tersebut sebenarnya mencerminkan kadar yang lebih kukuh iaitu mencecah kira-kira 18%.
Frontken kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan industri separa konduktor, yang disokong oleh permintaan struktur jangka panjang melibatkan kecerdasan buatan (AI), dan elektronik automotif.
Bagi segmen O&G pula, kumpulan menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan dan kejuruteraan khusus terus kekal berdaya tahan, disokong oleh asas pasaran tenaga yang stabil.
"Melangkah ke hadapan, kumpulan terus memberi tumpuan kecemerlangan operasi, inovasi teknologi, dan pelaksanaan berdisiplin bagi memberi nilai kepada pemegang saham," katanya. - DagangNews.com





